Memperluas potensi Turkiye-Malaysia
SAYA amat berbesar hati kerana dapat menziarahi Malaysia sekali lagi. Ia sentiasa ‘menyejukkan jiwa’ saya untuk berada di negara yang ‘hangat’ semangat persaudaraan, membolehkan kita menjalin hubungan erat melalui agenda positif.
Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye bulan lalu membuktikan komitmen bersama untuk mengembangkan lagi hubungan dua negara dalam semua bidang berpotensi untuk masa hadapan dan menyerlahkan lagi hubungan erat terjalin selama ini.
Dalam lawatan itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Ismail Sabri memutuskan untuk meningkatkan hubungan dua hala negara ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Justeru, saya berharap dengan lawatan ini, ia akan membuka peluang baharu dalam mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada.
Turkiye sebagai rakan dialog sektoral ASEAN, sejajar dengan inisiatif ‘Asia Anew’, berhasrat merealisasikan sepenuhnya peluang yang ada dengan negara Asia. Malaysia dan ASEAN hakikatnya memiliki keistimewaan dalam hubungan diplomasi Turkiye dengan benua ini.
Tahun lalu, walaupun dilanda pandemik, jumlah perdagangan dua hala kedua-dua negara meningkat dengan ketara sehingga mencecah AS$3.54 bilion.
Turkiye dan Malaysia berusaha mencapai sasaran jumlah dagangan kepada AS$5 bilion dan merealisasikan komitmen bersama memenuhi potensi besar dalam perdagangan dan meningkatkannya ke tahap lebih tinggi.
Saya bahawa pemulihan ekonomi selepas COVID-10 dan pengembangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala mencakupi aspek perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kedua-dua negara.
Melihat persekitaran keselamatan global semakin kompleks, industri pertahanan terserlah sebagai medan berpotensi besar untuk mengeratkan lagi kerjasama. Oleh itu, peluang pelaburan bersama amat berpotensi untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.
Turkiye bersedia untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan dan pertahanan, ekonomi, perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan serta pelancongan dan budaya.
Tambahan pula, Turkiye sentiasa menjadi destinasi pelancongan paling popular rakyat Malaysia. Memandangkan kedua-dua negara mempunyai nilai bersama dan hubungan kukuh, saya percaya kepelbagaian kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan dihargai masyarakat.
Sesungguhnya kita berkongsi visi sama dalam banyak isu – dari masalah ummah sehingga cabaran antarabangsa dan serantau. Saya amat berbesar hati melihat kepimpinan Turkiye dan Malaysia amat menyedari dalam dunia global hari ini, permasalahan serantau juga mempunyai impak secara global.
Penyelesaian untuk isu ini hanya boleh dicapai melalui pembabitan secara multilateral dan rangka kerja komprehensif. Dengan mengambil kira perkara ini, kami menjadikan pengukuhan kerjasama dengan Malaysia dalam organisasi serantau dan antarabangsa sebagai keutamaan.
Saya percaya Turkiye dan Malaysia boleh menyumbang secara signifikan dalam menyelesaikan masalah serantau dan global dengan bekerjasama di forum multilateral.
Cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini ditimbulkan pandemik COVID-19 dan krisis serantau dengan kesan global, seperti perang di Ukraine, sekali lagi mengingatkan kita mengenai kerjasama multilateral.
Kami komited menangani cabaran dengan menggunakan setiap platform yang ada dan bersedia mengambil inisiatif diperlukan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin termasuk perkongsian vaksin COVID-19 Turkovac serta perkongsian teknologi dan pengetahuan.
Secara keseluruhan, Turkiye akan melaksanakan tanggungjawabnya dan tetap bertekad bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Malaysia.
Walaupun dipisahkan kedudukan geografi, kedua-dua negara kekal bertaut rapat dengan nilai dan objektif sama. Oleh itu, saya yakin Turkiye dan Malaysia akan mengeratkan lagi hubungan multi-dimensi mereka pada tahun mendatang dengan berbekalkan kekuatan dan sokongan rakyat.
Sponsored by Egroup88