Melaka akan dapat barisan EXCO baharu – Zahid
MUAR: Melaka dijangka mempunyai barisan EXCO kerajaan negeri yang baharu susulan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Melaka bukan hanya mendapat Ketua Menteri yang baharu petang esok, malah barisan EXCO kerajaan negeri turut distruktur semula.
Katanya, pelantikan EXCO Kerajaan Melaka yang baharu itu, akan diselesaikan menerusi semangat perpaduan.
“Saya adakan perbincangan kerana majlis angkat sumpah akan diadakan petang esok dan tentunya ia akan diikuti dengan penstrukturan semula barisan EXCO Kerajaan Melaka.
“Bagaimanapun, saya masih belum memperoleh senarai nama cadangan daripada Ketua Menteri Melaka yang baharu. Namun saya yakin semangat Kerajaan Perpaduan yang wujud pada peringkat nasional dapat diterjemahkan di Melaka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik Sungai Balang di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, Ahmad Zahid memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.
Semalam, Presiden UMNO itu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan pada jam 3 petang esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dalam kenyataannya hari ini berkata, istiadat itu akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, di Kompleks Seri Negeri.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendekatan Kerajaan Perpaduan diharap dapat disebarkan luaskan di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, seterusnya diterima di negeri lain.
“Tentunya kita mengharapkan dalam enam PRN negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan kelak, perkara sama akan berlaku.
“Oleh itu, kita mesti membiarkan optik dan naratif yang baik bagi menyebar luaskan situasi pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri,” katanya.
Sponsored by Egroup88