Mayat korban arus deras Sungai Galas ditemui
KUALA KRAI: Warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dalam Sungai Galas ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Kampung Kuala Gris pada petang kelmarin, ditemui lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad, berkata mayat Mohammad Ishak, 70, ditemui pada jam 7 malam tadi, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Katanya, polis menerima laporan daripada orang awam ternampak mayat terapung yang tersangkut pada pokok di dalam sungai berdekatan di mana lokasi mangsa disyaki terjatuh.
“Sebaik menerima laporan itu, pihak polis dan anggota bomba ke lokasi dan mengangkat mayat ke darat pada jam 7.15 petang.
“Mayat mangsa kemudiannya di dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) ditutup sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan.
Media semalam melaporkan, berdasarkan maklumat awal yang diterima, mangsa memberitahu anaknya mahu pergi ke Pengkalan Lan bagi melihat sampannya.
Anak mangsa kemudian pergi ke Pengkalan Lan selepas kira-kira dua jam bapanya tidak pulang ke rumah sebelum mendapati motosikal serta barang-barang milik warga emas itu berada di tepi sungai.
Selepas mencari di sekitar kawasan Pengkalan Lan, mangsa tidak dijumpai dan anaknya mengesyaki ayahnya mungkin terjatuh serta dibawa arus sungai.
Anak mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Dabong pada 10 malam kelmarin berhubung kehilangan bapanya yang difahamkan turut mempunyai masalah jantung.
Sponsored by Egroup88