Maut lori dihempap kontena

BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori terminal (prime mover) maut selepas tersepit dalam kabin pemandu kenderaan itu yang dihempap kontena di terminal kontena, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 10.13 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun yang juga warga tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah pemandu lori terminal sebuah syarikat pembekal jentera berkenaan di terminal terbabit.

“Terdahulu, mangsa dikatakan membuat pusingan U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal.

“Dalam kemalangan itu, kepala mangsa didapati tersepit di dalam kabin pemandu lori terminal,” katanya.

Jelasnya, susulan itu JKKP negeri mengeluarkan notis larangan bagi aktiviti kerja pengendalian lori terminal dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Katanya, tindakan perundangan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja atau orang awam dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab bagi mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.