Malaysia turut meriah raikan kelahiran ramai bayi tahun lompat

KUALA LUMPUR: Hanya muncul empat tahun sekali, kelahiran cahaya mata pada 29 Februari menambah detik istimewa buat pasangan yang menyambut kelahiran ahli keluarga baharu pada tahun lompat.

Perasaan gembira dan bersyukur memperoleh zuriat pada tarikh istimewa itu dizahirkan oleh ibu bapa di seluruh negara yang menganggapnya sebagai satu anugerah bermakna.

Di PAHANG, pasangan suami isteri Faezah Ahmad Rosli, 35, dan Ahmad Ahdhorol Jinan Mohammad Afik, 39, bersyukur dan teruja menyambut kelahiran bayi lelaki mereka pada tarikh unik tepat 9.34 pagi tadi.

Faezah berkata tidak pernah terlintas untuk melahirkan anak ketiganya itu hari ini memandangkan tarikh kelahiran dijangkakan pada 10 Mac.

“Alhamdulillah, yang penting bayi sihat. Kelahiran ini pun sememangnya dinantikan sebab beza yang bongsu dan anak kedua pun enam tahun. Jadi persiapan untuk dia seperti anak pertama,” katanya yang melahirkan bayi seberat 3.06 kilogram (kg) di Hospital Pakar KPJ Pahang, Kuantan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 24 bayi dilahirkan hari ini di Pahang bermula 12 tengah malam hingga 11 pagi tadi dengan bayi terawal dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 12.18 tengah malam iaitu bayi perempuan seberat 3.71 kg.

Seramai lima bayi selamat dilahirkan pada hari istimewa iaitu 29 Februari 2024 ketika tinjauan di Hospital Tuanku Ja’afar. Foto BERNAMA
Seramai lima bayi selamat dilahirkan pada hari istimewa iaitu 29 Februari 2024 ketika tinjauan di Hospital Tuanku Ja’afar.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata 14 bayi dilahirkan di tujuh hospital dengan enam daripadanya lelaki manakala lapan perempuan setakat 2 petang ini.

Ibu kepada seorang daripada bayi berkenaan, Nur Aswanizan Mislan, 30, berkata dia tidak menyangka akan melahirkan anak perempuan keduanya seberat 2.57kg di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada tarikh ini kerana dijadualkan bersalin pada 20 Mac.

“Pagi tadi saya sepatutnya kelahiran dicepatkan sebab bayi kecil tapi bila jururawat kata dah boleh bersalin sebab jalan dah terbuka, rasa sangat gembira. Anak saya dilahirkan sihat dan tahun lompat ini memang istimewa, nanti boleh sambut hari lahirnya besar-besaran empat tahun sekali,” kata pensyarah di sebuah kolej vokasional di Selangor itu.

Dua bayi dilahirkan pada tarikh unik 29 Februari di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn di sini. Foto IHSAN KPJ BANDAR DATO' ONN
Dua bayi dilahirkan pada tarikh unik 29 Februari di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn di sini.

Di JOHOR, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Muhamad Amin Othman berkata dua bayi masing-masing lelaki dan perempuan selamat dilahirkan di hospital tersebut hari ini.

Muhamad Amin berkata, bayi lelaki seberat 2.87kg dan bayi perempuan seberat 3.19kg itu dilahirkan pada 9.08 pagi dan 4.14 pagi.

Bagi ibu dan bapa kepada bayi perempuan, Azzan Jamaludin, 34 dan Nor Nabihah Rusli, 34, menzahirkan kesyukuran dengan kelahiran anak keempat mereka itu selain teruja ia juga berlaku pada tarikh istimewa dan unik.

“Saya (bapa bayi) dan pasangan bersyukur bayi ini dilahirkan selamat, tidak kisah tarikh apa pun. Sebenarnya isteri saya dijangkakan untuk melahirkan bayi kami pada 1 Ramadan (12 Mac) tetapi lahir awal, tidak mengapa janji selamat.

“Ini adalah tarikh yang unik, tidak ramai ada di tarikh ini, jadi memang istimewa untuk kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata 23 bayi tahun lompat dilahirkan di enam hospital utama Terengganu antaranya Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hospital Hulu Terengganu, Hospital Kemaman, Hospital Setiu dan Hospital Besut.

Beliau berkata kelahiran pertama melibatkan bayi lelaki di Hospital Hulu Terengganu pada 12.22 tengah malam dan semua bayi dilahirkan dalam keadaan sihat.

Di MELAKA, sebanyak 14 bayi ‘tahun lompat’ dilahirkan di negeri itu bermula tengah malam tadi hingga 3 petang ini, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata 14 bayi berkenaan melibatkan tujuh bayi lelaki dan tujuh bayi perempuan dan semuanya dilahirkan di Hospital Melaka.

Di SARAWAK, dua hospital kerajaan di sini mencatatkan 12 kelahiran sehingga jam 12 tengah hari ini pada hari tahun lompat ini.

Daripada jumlah itu, Hospital Umum Sarawak mencatatkan 10 kelahiran, terdiri daripada tujuh bayi perempuan dan tiga lelaki bayi lelaki, manakala di Hospital Sibu pula seorang bayi lelaki dan seorang perempuan dilahirkan antara tengah malam dan tengah hari ini.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.