Malaysia sedia penuhi permintaan sawit Mesir, Qatar
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Am dan Zon Bebas Mesir, Mohamed Abdel Wahab semasa Misi Promosi Ekonomi dan Pertanian ke Mesir

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia memenuhi permintaan menggalakkan minyak sawit dari pelbagai pasaran termasuk Mesir dan Qatar, disokong jangkaan peningkatan pengeluaran tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara dijangka meningkat 4.9 peratus kepada 19 juta tan tahun ini berbanding 18.12 juta tan tahun lalu.

Katanya, jangkaan itu juga bakal menyaksikan stok minyak sawit bertambah 21.1 peratus kepada 1.95 juta tan daripada 1.61 juta tan pada 2021.

“Ini adalah berita baik kepada peserta industri dan pasaran. Ia jelas menunjukkan kita bersedia memenuhi permintaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuraida berkata, harga minyak sawit berada di barisan hadapan berita minyak boleh dimakan sejak COVID-19 bermula 2020 dan disebabkan konflik yang berterusan di Eropah, baru-baru ini.

“Lonjakan harga semasa didorong oleh prospek bekalan minyak sayuran pengganti kerana ketidakpastian terhadap minyak biji bunga matahari dari Ukraine dan Russia.

“Bekalan yang sempit dari negara pengeluar juga telah memberi kesan kepada harga minyak sawit global,” katanya.

Zuraida menamatkan Misi Promosi Ekonomi dan Pertanian ke Mesir dan Qatar pada 16 hingga 20 April lalu.

Dalam misi berkenaan, beliau bertemu dengan rakan sejawatnya dari kedua-dua negara; mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan peserta agrikomoditi Mesir dan Qatar; selain bertemu dengan pihak berkuasa pelaburan tempatan, ahli akademik dan usahawan serta diaspora wanita tempatan.

Antara pertemuan Zuraida adalah dengan wakil Kementerian Perdagangan dan Industri Mesir, Navine Gamea; Menteri Bekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy; Menteri Perbandaran Negeri Qatar, Abdullah Bin Abdulazizi Bin Turky; dan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Sheikh Mohammed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Am dan Zon Bebas Mesir, Mohamed Abdel Wahab; Ketua Sains & Teknologi Makanan, Professor Dr Hanafy Hashim; dan Dekan akulti Pertanian, Universiti Al Azhar, Professor Dr Gamel Abdrabuh.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif KPPK mempromosikan produk pertanian Malaysia, perbincangan meja bulat dapat merapatkan aktiviti promosi perdagangan, kerjasama perniagaan dan pertukaran maklumat antara kerajaan serta pemain utama dari dalam industri, khususnya untuk minyak sawit, getah dan produk kayu.

Zuraida juga melengkapkan misi ke beberapa negara sejak awal tahun ini bagi meningkatkan eksport komoditi Malaysia khususnya minyak sawit.

Selain Mesir dan Qatar, negara yang dikunjungi beliau ialah Arab Saudi, Iran, Turki, Pakistan, India dan Bangladesh.

Syarikat Malaysia turut mengambil bahagian dalam misi ini untuk mengukuhkan dan menjalin semula hubungan dua hala.

Antara pencapaian itu ialah cadangan untuk mewujudkan perkongsian usaha sama di India dan Pakistan.

Terdapat juga cadangan daripada Qatar dan Mesir untuk melabur dengan syarikat Malaysia bagi menubuhkan kemudahan pengeluaran di Malaysia.

Ini dilihat sebagai langkah strategik yang akan mempercepatkan eksport komoditi ke wilayah terbabit.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.