Malaysia langkah kanan benam Thailand
KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara melaungkan amaran pada temasya Sukan SEA kali ini selepas menewaskan Thailand 2-1 pada aksi Kumpulan B di Stadium Thien Truong, sebentar tadi.
Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan Brad Maloney mengungguli Kumpulan B dengan tiga mata sementara Thailand yang juga juara 16 kali mungkin meratapi kekalahan itu susulan ‘kesilapan’ pemainnya yang dilayangkan kad merah pada hujung babak pertama.
Pada aksi terbabit, Thailand hanya memerlukan sembilan minit untuk mencemaskan benteng Malaysia menerusi percubaan Ekanit Panya yang diselamatkan Azri Ghani sebelum terus mengancam menerusi tandukan Jonathan Khemdee hasil sepakan sudut selepas itu.
Tanpa sebarang percubaan dalam 20 minit pertama, peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-23 namun Luqman Hakim Shamsudin gagal mengarahkan percubaannya dengan tepat ke gawang gol dan tersasar tinggi.
Gawang Malaysia ‘bocor’ pada minit ke-33 selepas Patrick Gustavsson bijak mengatasi kawalan dua pertahanan Malaysia dan percubaannya yang perlahan cukup untuk menewaskan Azri.
Gustavsson sekali lagi menguji Azri pada minit ke-37 namun kali ini gagal mengatasi penjaga gol negara itu dan giliran Nik Akif menguji Kawin Thamsatchanan seminit berselang.
Malaysia berkelebihan seorang pemain apabila Khemdee dilayangkan kad merah pada minit ke-41 selepas menjatuhkan Syahir Bashah yang dilihat memiliki peluang untuk mendapatkan bola dan menghasilkan sesuatu buat Malaysia.
Gol penyamaan yang dinanti-nantikan muncul pada minit ke-61 selepas gerakan Mukhairi Ajmal gagal dikekang pertahanan Thailand dan hantaran lintangnya disudahkan Danial Asri dari jarak dekat untuk kedudukan 1-1.
Jaring Thailand ‘bergoncang’ sekali lagi pada minit akhir apabila Azfar Fikri Azhar menyumbat gol kedua yang jelas menjadi gol kemenangan buat Malaysia.
Sementara itu, dua jaringan lewat permainan menyelamatkan maruah Singapura daripada dimalukan Laos apabila mereka terikat 2-2 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung pada sebelah petang.
Laos mendahului 2-0 hasil jaringan Ekkamai Ratxachak (m14) dan Chony Wenpaserth (m50) namun Singapura bangkit di hujung permainan dengan jaringan Glenn Kweh (m89) dan Jordan Emaviwe (m90+6).
Sponsored by Egroup88