Malaysia bentang Laporan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia PBB
PUTRAJAYA: Malaysia akan membentangkan Laporan Negara pada sesi Penilaian Berkala Sejagat Keempat di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), penyertaan Malaysia dalam sesi keempat itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi negara dalam usaha memajukan agenda hak asasi manusia di Malaysia.
Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan hak asasi manusia sebagai satu keutamaan dalam agenda pembangunan negara.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Bala Chandran Tharman.
Ini merupakan penilaian terhadap situasi hak asasi manusia di Malaysia yang keempat. Sebelum ini, penilaian dilakukan pada 2009, 2013 dan 2018.
UPR merupakan satu proses antara kerajaan yang diwujudkan di bawah rangka kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi menilai rekod hak asasi manusia bagi setiap negara anggota yang dinilai sekali setiap empat tahun setengah.
Ia memberi peluang kepada setiap negara yang dinilai untuk berkongsi maklumat akan usaha dan langkah yang telah diambil bagi meningkatkan tahap hak asasi manusia di negara masing-masing.
UPR juga merupakan satu mekanisme kajian semula setara yang dilaksanakan atas pendekatan yang konstruktif untuk semua negara anggota PBB mengemukakan saranan dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.
Laporan Negara mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia adalah hasil usaha yangmenyeluruh dan bersama dengan semua pemegang taruh yang melibatkan beberapa siri perbincangan termasuk pihak masyarakat madani dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), menurut Wisma Putra.
Laporan Negara merangkumi kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia dalam mempromosikan hak asasi manusia bagi tempoh Nov 2018 hingga Okt 2023.
Sponsored by Egroup88