Mahkamah tolak saman Serba Dinamik ke atas Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengenepikan tindakan undang-undang yang difailkan oleh Serba Dinamik Holdings Bhd ke atas Bursa Malaysia Securities Bhd.

Bursa Securities dalam kenyataannya berkata, semasa membuat keputusan itu, mahkamah memutuskan bahawa aduan yang dibangkitkan oleh Serba Dinamik adalah tidak boleh dipertahankan sepenuhnya dan tidak disokong dengan fakta.

Serba Dinamik memfailkan saman terhadap Bursa Securities di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November lalu.

Syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia mendakwa pengendali bursa tempatan itu bertindak di luar bidang kuasa apabila menggantung dagangan sahamnya.

Isu berkenaan bermula daripada kebimbangan yang dibangkitkan terhadap proses audit Serba Dinamik sejak Mei lalu.

Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas, berkata Bursa Malaysia tidak memiliki kuasa untuk mengarah syarikat itu, apa lagi menggantung saham Serba Dinamik yang tidak mengikut prosedur dan melanggar peraturan keadilan.

Dalam tuntutan terbabit, Serba Dinamik memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa arahan Bursa Malaysia dan penggantungan dagangan sahamnya dibatalkan.

Syarikat juga meminta Bursa Malaysia ditegah daripada mengambil sebarang tindakan untuk mengumumkan atau sebahagian daripada ‘Perkembangan Terkini Dapatan Fakta’ dan mengeluarkan sebarang arahan kepada Serba Dinamik untuk melantik sesiapa untuk berperanan sebagai juruaudit khas syarikat, menilai atau menyiasat urusan mereka bersama dengan arahan penamatan penggantungan saham syarikat di Pasaran Utama.

Tuntutan saman itu mempersoalkan kuasa Bursa Malaysia untuk mengarah syarikat bagi mengambil apa saja tindakan, langkah atau melakukan sesuatu yang bertentangan atau tidak mematuhi beberapa peruntukkan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) iaitu perenggan 9.03 dan 9.35A.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.