Liga Super guna sembilan import musim depan
Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan (kanan) dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) sejurus tiba pada Mesyuarat Luar Biasa Rakan Kongsi Liga Ke-3 di Petaling Jaya, hari ini.

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggunakan format baharu pendaftaran sembilan pemain import membabitkan semua pasukan Liga Super bermula tahun depan selaras dengan penstrukturan semula liga.

Kuota pemain import Liga Malaysia (Liga M) menimbulkan sedikit percanggahan ketika ini di mana kelab yang tiada pasukan ‘reserve’ atau ‘feeder club’ hanya mempunyai lima pemain import.

Ia berbanding kelab yang mempunyai pasukan reserve seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Selangor yang mempunyai peluang memilih daripada sembilan pemain import setiap perlawanan.

Bagi format baharu ini, walaupun semua pasukan dibenarkan mendaftar sembilan pemain import, namun MFL masih kekal dengan hanya membenarkan lima pemain import termasuk satu import Asia dan satu dari ASEAN di atas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan untuk menjaga slot pemain tempatan di atas padang tidak terjejas.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, terpulang kepada pasukan untuk mendaftarkan sama ada sembilan atau kurang dari jumlah itu mengikut kemampuan kewangan mereka.

“Kalau tak boleh ambil sembilan, jangan ambil sembilan, nanti tak mampu bayar gaji. Kemampuan pasukan itu penting.

“Dalam pendaftaran 32 pemain, boleh daftarkan sembilan pemain import. Pada hari perlawanan hanya enam boleh didaftar untuk perlawanan itu, dan hanya lima di atas padang, satu di bangku simpanan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

MFL semalam mengumumkan struktur baharu Liga Malaysia bermula musim depan dengan saingan Liga Super akan disertai 18 pasukan dan Liga Perdana pula dimansuhkan bagi tempoh tertentu.

Pelaksanaan penstrukturan semula Liga M itu menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja ketika ini, tidak termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Jumlah 34 perlawanan itu memenuhi saranan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hasil kaji selidik badan induk bola sepak dunia itu yang dikongsikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Tiada penyingkiran bagi pasukan Liga Super tahun ini dan dua pasukan terbawah Liga Perdana akan bermain playoff dengan pasukan Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk melengkapkan senarai 18 pasukan Liga Super musim depan.

Penstrukturan semula Liga M itu turut menyaksikan Liga Simpanan diperkenalkan yang mana saingan berkenaan khusus untuk pemain bawah 23 tahun.

Mengulas mengenai penstrukturan semula itu, Ab Ghani berkata ia mampu menaikkan nilai komersial Liga M yang kini dinobatkan sebagai liga nombor satu Asia Tenggara.

“MFL sentiasa bergerak untuk memastikan Liga Malaysia berada di dalam peta bola sepak Asia di mana penstrukturan semula Liga Malaysia ini dilihat menjadi satu langkah positif kepada semua pihak yang berada dalam industri bola sepak negara.

“Kita melihat kepada tuntutan AFC yang sentiasa mahu ahli gabungan meningkatkan standard dan kita tidak mahu kelab-kelab Liga Malaysia ketinggalan dalam arus perkembangan bola sepak di rantau ini,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.