Lif rosak, kakitangan hospital terpaksa guna tangga pindah pesakit ke ICU
MELAKA: Aksi kakitangan Hospital Melaka (HM) memindahkan seorang pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, menggunakan tangga untuk ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan kerosakan lif, kini tular.
Bersama video pendek yang tular itu, disertakan catatan merayu bantuan pihak berwajib termasuk EXCO kesihatan mengambil tindakan segera menangani masalah itu dan membantu kakitangan hospital berkenaan.
“Saya tidak tahu cara macam mana lagi yang terbaik untuk dapatkan tindakan segera dari pihak atasan. YB, tolonglah bantu staff YB di sini (Hospital Melaka). “Pt ventilated nak t/o ICU sampai kena turun tangga macam ni YB,’.
Mengulas kejadian itu, EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem, mengakui pemindahan pesakit melalui tangga di HM disebabkan kerosakan lif di luar jangkaan pada Jumaat lalu.
Beliau menjelaskan, HM kini dalam proses melaksanakan kerja naik taraf lif di beberapa blok dan menyebabkan bilangan operasi lif dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengantian lif baharu.
“Pada Jumaat, berlaku kerosakan luar jangkaan di blok F hospital berkenaan menyebabkan akses terhad ke beberapa wad. Proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal.
“Bagaimanapun, pemindahan pesakit dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat dan pengurusan wad,” katanya menerusi kenyataan media, malam ini.
Mengenai video pendek yang tular, Hee Sem mengesahkan kejadian itu ketika kakitangan sedang melakukan proses pemindahan pesakit.
“Ketika itu berlaku pemindahan pesakit dari wad aras empat ke aras tiga blok sama kerana berlaku situasi di luar jangka gangguan lif di Blok F. pesakit itu juga dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.
Katanya, kerja-kerja naik taraf lif di HM terbahagi kepada dua fasa, iaitu Fasa I antara Oktober 2022 hingga Julai 2023, manakala Fasa 2 pula dalam tempoh Julai 2023 hingga Disember 2023.
“Sehingga 2 petang Jumaat lalu, dua unit lif yang rosak sudah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan. Selain itu, pihak hospital sentiasa memastikan keselamatan dan kebajikan pesakit serta kakitangan diutamakan.
“Semua pihak juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi kerana ini boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit,” katanya.
Sponsored by Egroup88