Leissner bongkar penipuan, rasuah skandal 1MDB di mahkamah
NEW YORK: Bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, mengaku terima rasuah dan memalsukan dokumen dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Antara lain, dia mengakui menerima sogokan AS$60 juta (RM251 juta) di mahkamah Amerika Syarikat (AS), menipu bank mengenai perjanjian yang berunsur rasuah dan memalsukan dokumen perceraiannya sebanyak dua kali untuk berkahwin lagi.
Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Roger Ng, yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.
Leissner pada 2018, mengaku bersalah bersubahat atas kesalahan pengubahan wang dan melanggar undang-undang anti rasuah serta bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya.
Ng, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan Brooklyn.
Dalam tempoh lebih seminggu memberi keterangan, Leissner menceritakan gaya hidup amat mewah selepas urusniaga 1MDB yang menguntungkan menjadikannya seorang ‘bintang’ dan langkah yang diambilnya untuk mengelak daripada ditangkap.
Leissner, 52, berkata dia berharap tindakannya bercakap benar sekarang akan ‘membersihkan satu episod hidupnya’ dan tidak perlu menjalani hukuman penjara.
“Ia bukan masa yang paling membanggakan dalam hidup saya tetapi pada masa itu, saya mahu membuat lebih banyak wang walaupun saya dibayar gaji lumayan,” katanya dalam keterangan mahkamah.
Pertuduhan terhadapnya turut merangkumi penjualan bon berkaitan 1MDB bernilai kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion), yang diuruskan dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.
Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion (rm18.8 bilion) daripadanya digelapkan pegawai, pegawai bank dan rakan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.
Goldman Sachs pada 2020, bersetuju membayar denda AS$3 bilion (RM12,5 bilion) dan anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.
Bank itu berkata, ketika itu, ia tidak ‘meneliti dengan secukupnya pembentangan segelintir ahli pasukan perjanjian’.
Leissner berkata, dia dan Ng, yang juga pegawai bank terkemuka Goldman Sachs untuk Malaysia, secara rahsia berhubung dengan rakan konspirasi di luar syarikat itu dan menerima sogokan.
Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah yang Leissner secara palsu mengaitkan Ng untuk merendahkan hukumannya, namun pendakwa raya berkata, dakwaan Leissner turut disokong oleh bukti lain.
Leissner berkata, dia membelanjakan wang sogokan yang diterimanya untuk membeli kapal layar berharga AS$15 juta (RM62,7 juta), pangsapuri di London dan New York serta pelaburan dalam pasukan bola sepak Itali, Inter Milan.
Sponsored by Egroup88