Lebuhraya Karak terus sesak
Foto dirakamkan semalam menunjukkan pemandangan udara aliran trafik lebuhraya Karak berhampiran Plaza Tol Gombak arah Lebuhraya Pantai Timur kelihatan sesak berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) arah timur terus sesak dengan kenderaan sejak malam tadi sehingga ke pagi ini.

Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata setakat jam 11.07 tadi, kesesakan lebih 24.5 kilometer dikesan berlaku dari Plaza Tol Gombak hingga ke Kilometer (KM) 44.5 arah dari arah Gombak ke Genting Sempah.

“Kesesakan lebih awal berlalu di laluan masuk ke Plaza Tol Gombak dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Selain itu, kesesakan sepanjang 5 kilometer turut dikesan berlaku dari KM47.5 hingga ke KM50.5 arah dari Bukit Tinggi ke Lentang,” katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, kesesakan trafik berlaku berikutan jumlah kenderaan yang tinggi dari arah ibu kota memasuki KLK untuk ke Pantai Timur.

“Sejak jam 9 malam tadi, trafik di beberapa lokasi sepanjang KLK dilaporkan kembali mengalami kesesakan trafik dan situasi itu berlarutan sehingga jam 11 pagi tadi.

“Kita percaya kegagalan sebahagian besar pengguna jalan raya untuk mengikuti Cadangan Waktu Perjalanan menjadi satu punca utama berlaku kesesakan trafik,” katanya.

Dalam pada itu, Radzimah berkata keadaan trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) masih lancar di kedua-dua arah.

Tambahnya, bermula jam 12 tengah malam tadi hingga 10 pagi tadi, sebanyak 53,177 kenderaan memasuki KLK untuk ke arah Timur melalui Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.