Lebih 1.6 tan kokain dalam kontena pisang, kacang koko dan simen
HAGUE: Kastam Belanda merampas lebih 1.6 tan kokain yang disembunyi dalam kontena penghantaran pisang, kacang koko dan simen di Pelabuhan Rotterdam, menurut pejabat pendakwaraya awam hari ini.
Dadah diseludup dengan anggaran nilai pasaran AS$143 juta (RM598 juta) disimpan dalam tiga kontena yang tiba di pelabuhan terbesar Eropah.
“Kontena pertama datang dari Ecuador dan mengandungi pisang untuk syarikat di Barendrecht, terletak di luar Rotterdam,” kata pendakwaraya terbabit.
“Dadah dalam kontena kedua pula ditemui dalam kacang koko juga dari Ecuador tetapi dihantar melalui Colombia dan kemudian melalui Antwerp,” menurut kenyataan itu.
Kontena ketiga yang sarat dengan simen untuk dihantar ke Portugal, mengandungi lima beg sukan diisi dadah.
Kes rampasan dadah begitu rancak pada tahun ini di Pelabuhan Rotterdam.
Kemudahan itu dilihat sebagai pintu masuk utama dadah ke Eropah, khususnya kokain.
Pihak berkuasa kastam semalam berkata, pihaknya merampas 68 tan kokain pada tahun ini, berbanding 49 tan tahun lalu.
Agensi pengawasan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa Belanda dan Belgium menjadi hab utama untuk pasaran kokain terutama membabitkan bekalan dari Colombia.
Menurut Europol dalam laporan dikeluarkan pada September lalu mendedahkan, Pantai Laut Utara kini mengatasi semenanjung Iberia sebagai pintu masuk utama kokain yang sampai ke Eropah.
Selain kanabis, kokain menjadi dadah kedua paling popular di Eropah Barat dan Tengah dengan anggaran pengguna seramai 4.4 juta pada tahun lalu, dedah Europol dalam laporan itu.