Kutip derma nak buat sekolah tahfiz, tapi baiki rumah – PM beri contoh kutip derma tak telus

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlu ada ketelusan dalam pengurusan sebarang dana kutipan derma di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap kutipan derma oleh mana-mana organisasi perlu mengikut peraturan bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan.

Kerajaan MADANI sendiri, katanya, sentiasa mengutamakan kepentingan dalam soal pengurusan kewangan dengan penekanan kepada tatakelola yang betul bagi mengelakkan ia disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kita cadangkan semua derma-derma ini ikut saluran dan kita minta supaya diteliiti jumlahnya dan apa dibeli dan berapa banyak diserahkan, perlu ada ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA dan RTM selepas menghadiri sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat, di sini hari ini.

“Itu sebabnya, dalam soal pengurusan tatakelola, kena teliti, kerana kita kutip derma. Buat sekolah maahad tahfiz, kena ada peraturan, kalau tidak, dia kutip itu kemudian baiki rumah, sebab itu kita kena ikut peraturan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program selama dua hari yang bermula semalam ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Terdahulu, Anwar menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan peserta yang terdiri setiausaha akhbar kepada menteri-menteri dan warga komunikasi korporat meliputi pelbagai topik dan isu semasa.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.