KPT mahu semua IPT martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu

GOMBAK: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini, melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, pelan itu dibangunkan susulan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011-2015.

Katanya, pelan itu juga susulan satu Kajian Penggunaan Bahasa di IPTA yang dijalankan pada tahun 2010 yang mendapati nisbah penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam program pengajian IPTA berada pada tahap yang berbeza-beza merentasi pelbagai disiplin program.

“Dapatan tersebut meyakinkan KPT bahawa satu intervensi mesti dilakukan. Kita tidak mahu kedudukan Bahasa Melayu merosot dan dilihat tidak penting dalam ekosistem pendidikan tinggi.

“Alhamdulillah, sebagai kesinambungan daripada segala usaha tersebut, hari ini kita lancarkan pula pelan ketiga yang membawa beberapa penegasan baharu, yang kita harap dapat terus memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Mohamed Khaled berkata, secara asasnya pelan tindakan itu menyasar empat objektif utama iaitu pertama, membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; kedua, menghasilkan graduan yang berketrampilan dalam Bahasa Melayu.

Ketiga, merealisasikan Bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan keempat, memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing.

“Objektif ini akan diusahakan melalui empat teras iaitu pertama, pembudayaan Bahasa Melayu dalam pengajaran, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum.

“Kedua, pemerkayakan bahasa dan persuratan Melayu di IPTA dan antarabangsa. Ketiga, pengukuhan bahasa Melayu di IPTA sebagai wadah pembangunan negara dan yang terakhir, pemerkasaan IPTA dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya.

Beliau berkata, berasaskan empat teras utama yang dikenal pasti tersebut, KPT sudah menyenaraikan 11 strategi dan 26 inisiatif pelaksanaan bagi IPTA menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan itu dan antaranya memantapkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran.

Katanya, ia bermakna dengan pelancaran Pelan Tindakan itu, KPT menyarankan pengajaran subjek wajib IPTA dilakukan dalam Bahasa Melayu.

“Ini adalah satu ruang penting yang menuntut penggunaan Bahasa Melayu secara tersusun. Selain itu, adalah dicadangkan supaya lulus subjek Bahasa Melayu peringkat komunikasi asas menjadi syarat graduasi bagi pelajar prasiswazah antarabangsa.

“Melalui pendekatan seperti ini, kita bukan sahaja mempamerkan keseriusan dalam mengangkat penggunaan bahasa Melayu yang baik, malah akan mengembangkan kelompok penuturnya di samping berpeluang menunjukkan keindahan Bahasa Melayu kepada orang luar.

“Dalam memastikan pelaksanaan saranan ini bersifat praktikal, saya menyarankan semua IPTA memikir dan melihat secara serius kaedah atau pendekatan yang terbaik serta bersesuaian dengan institusi masing-masing,” katanya.

Susulan usaha itu, Mohamed Khaled berkata, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga tidak terlepas daripada menyambut dan menyokong agenda nasional berkenaan.

Akuinya, walaupun fokus dan operasi IPTS tidak bergantung kepada dana kerajaan sekali gus memberikan mereka sedikit kebebasan dan kelonggaran dalam menentukan bahasa penghantar yang digunakan, namun, IPTS juga diajak membuat tindakan sama.

“Namun IPTS sebenarnya tidak pernah terlepas daripada turut menyambut dan menyokong agenda nasional. Apatah lagi di bawah pentadbiran saya, KPT tidak membeza-bezakan IPTA dan IPTS.

“Atas dasar itu, suka saya tegaskan di sini bahawa inisiatif memartabatkan dan mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan turut dipanjangkan ke IPTS secara berperingkat-peringkat.

“Kita akan mulakan dengan beberapa langkah awal antaranya, membuka pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu turut membabitkan ahli-ahli akademik dari IPTS bermula tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata, untuk jangka panjang pula, KPT turut merancang untuk membangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di IPTS.

Katanya, ia bagi memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di sektor pendidikan tinggi akan bersifat menyeluruh, praktikal dan strategik.

“Sekiranya UIAM yang merupakan sebuah institusi antarabangsa yang beroperasi menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab boleh mempamerkan komitmen dan usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu, saya tidak lihat wujud alasan di IPT lain untuk tidak melakukan perkara sama,” katanya.

Terdahulu pada sidang media, Mohamed Khaled ketika ditanya berkenaan kadar bayaran elaun sara hidup kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dinaikkan RM100, menyambut baik usaha yang dilakukan itu.

“Kita memang alukan dan sokong (kenaikan elaun sara hidup). Kita juga akan berusaha memohon untuk pelajar tajaan terutama dari KPT,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.