KPLB belanja RM79.8 juta laksana PPRT di Sarawak

LAWAS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan berjumlah RM79.8 juta bagi membina dan membaik pulih rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sarawak tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah itu meliputi 405 projek bina baharu dan 3,077 projek baik pulih rumah golongan yang memerlukan bantuan program perumahan itu.

Menurutnya, kumpulan sasar program itu adalah ketua isi rumah miskin tegar dan miskin yang ditentukan berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang berkuat kuasa.

“PPRT ini adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina baharu atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut Program Peningkatan Pendapatan, PPP dan PPRT dekat Kampung Awat-Awat di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong.

Menurut Mahdzir, agensi kementeriannya, GIATMARA bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana projek PPRT di Sarawak yang sudah melaksanakan 180 unit rumah bina baharu dan 1,162 unit rumah baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM29.7 juta.

Bakinya dilaksanakan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED).

Sehingga 15 November tahun ini, sejumlah 800 unit rumah bina baharu berjaya disiapkan 75 peratus, manakala 10,000 unit rumah disiapkan 100 peratus bagi program baik pulih.

Mengenai Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Mahdzir berkata, tahun ini KPLB menyalurkan sejumlah RM700,000 kepada GIATMARA Sarawak dan daripada jumlah itu, RM500,000 disalurkan kepada 50 penerima manfaat di daerah Lawas.

Ia merangkumi program meningkatkan pendapatan nelayan kumpulan B40 di daerah itu melalui penyerahan bantuan enjin sangkut kepada 50 peserta.

“Kadar bantuan maksimum program PPP adalah sebanyak RM10,000 bergantung kepada projek yang dilaksanakan dengan peruntukan projek yang diluluskan akan ditentukan sepenuhnya oleh pihak kementerian dan bantuannya merangkumi kos latihan atau kursus kemahiran projek yang berjumlah maksimum RM1,500 seorang mengikut keperluan,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.