KPDN sasar selesai edar BBakul Rahmah Jun depan
KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan menyelesaikan pengagihan Bakul Rahmah kepada golongan miskin tegar, Jun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata berdasarkan data, lebih 130,000 Ketua Isi Rumah (KIR), yang dikategorikan sebagai miskin tegar di seluruh negara layak menerima Bakul Rahmah.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 80,000 golongan miskin tegar di seluruh negara sudah menerima Bakul Rahmah, mengandungi barang keperluan asas bernilai RM100 secara berperingkat sejak inisiatif itu diperkenalkan awal April lalu.
“Sejak awal April lalu, KPDN sudah membuat pengagihan sebanyak 80,000 kepada golongan sasar dan bakinya iaitu seramai 67,000 dijangka menerima bantuan ini secara berperingkat, akhir Jun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pelepasan Lori Rahmah peringkat negeri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Seri Dr Ahmad Said; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata inisiatif Bakul Rahmah fasa kedua dan ketiga akan diteruskan selepas pengagihan kepada semua golongan sasar selesai Jun depan.
Katanya, semua KIR yang dikategorikan sebagai miskin tegar tanpa mengira fahaman politik dan yang tinggal di negeri dikuasai parti pembangkang juga layak menerima bantuan Bakul Rahmah.
Mengulas dakwaan KPDN menggunakan peruntukan kerajaan menyediakan Bakul Rahmah, Salahuddin menafikannya dan menegaskan inisiatif itu diadakan dengan kerjasama rakan strategik, termasuk pemain industri, pengusaha pasar raya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, KPDN akan mewujudkan sukarelawan Rahmah di seluruh negara.
Katanya, golongan muda yang bercadang untuk menyertai sukarelawan Rahmah akan menjalani proses tapisan sebelum dilantik sebagai sukarelawan Rahmah.
“Ahli sukarelawan Rahmah akan diberi tanggungjawab untuk menyampaikan Bakul Rahmah secara terus ke kediaman golongan sasar dengan lebih cepat,” katanya.
Sponsored by Egroup88