Kongsi video berkait Wan Azizah, Ratu Naga ke Bukit Aman esok
SHAH ALAM – Penyedia kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman pada Isnin berhubung perkongsian video berkait isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Syarul Ema Rena yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga berkata, dia dihubungi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk hadir di pejabat berkenaan pada jam 10 pagi.
Menurutnya, beliau dipanggil berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke atas akaun Instagram @ratunaga mengenai isu akaun Instagram @b.netanyahu (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu).
“Akaun berkenaan (@b.netanyahu) yang memuat naik gambar bersama isteri-isteri pemimpin Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
“Termasuk isteri PMX (Wan Azizah) yang hadir minum petang bersama isteri Presiden Amerika Syarikat dan isteri Perdana Menteri Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Syarul Ema Rena pada Isnin lalu memuat naik satu video rakaman kandungan daripada Instagram Netanyahu yang memuat naik beberapa foto majlis minum petang bersama isteri-isteri pemimpin dunia termasuk Wan Azizah.
Tambah Syarul Ema Rena, dia akan hadir esok ditemani peguamnya, Zaid Malek.
Sponsored by Egroup88