Klopp teruja kedatangan Diaz
LONDON: Jurgen Klopp bakal memberikan Luis Diaz penampilan segera di Anfield selepas menganggap kedatangan penyerang itu penting untuk masa depan Liverpool.
Diaz, yang ditandatangani Liverpool dari Porto pada hari tarikh akhir perpindahan Januari dengan bayaran awal £37.5 juta (RM212 juta), hanya tiba di Merseyside jam 10 pagi semalam selepas menunggu borang permit kerja di Paris.
Dia memulakan minggu ini di Argentina yang mana dia beraksi ketika Colombia tewas 1-0.
Ia masa yang sibuk buat pemain berusia 25 tahun itu, yang hanya bertemu Klopp secara peribadi buat kali pertama, semalam.
Kini dia boleh berada di bangku simpanan untuk perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Cardiff, esok.
“Bukan mudah untuk duduk di Paris menunggu kertas kerja,” kata Klopp.
“Ia bukan masa terbaik dalam hidup anda dan tidak membantu aspek pemulihan.
“Saya tidak akan berkata tidak kerana saya juga teruja untuk memberinya beberapa minit di Anfield.”
Liverpool membuat Tottenham dan Manchester United kempunan untuk mendapatkan Diaz dan Klopp percaya dia akan membawa sesuatu yang terbaik daripada penyerang yang ada di kelab itu ketika ini.
“Kami memerlukan banyak pilihan. Ini termasuk darah muda, dan itulah yang kami lakukan dengan Diogo Jota ketika dia datang ke sini dan sekarang, apabila kami menandatangani Luis. Kelab perlu bersedia dengan semua senario. Kami berasa berada di tempat yang baik,” katanya.
Sponsored by Egroup88