KKM sahkan satu kes kematian akibat cuaca panas
KUALA LUMPUR: Lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan, dengan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilakukan oleh KKM sehingga hari ini, tiga kes dilaporkan di Sarawak, membabitkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.
Katanya, dua kes lagi dilaporkan di Kelantan dengan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian.
“Dua kematian akibat strok haba di Kelantan, hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah ‘heat stroke with severe dehydration’.
“Kematian bayi berusia 19 bulan pula disebabkan oleh ‘severe dehydration with underlying sepsis’ dan bukan disebabkan oleh strok haba,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau merujuk laporan media mengenai dua kematian dikaitkan dengan cuaca panas di Kelantan, semalam.
KKM juga mengambil maklum laporan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Semalam, terdapat beberapa kawasan dilaporkan berada pada Tahap Amaran 1.
Tahap Amaran 1 adalah berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Kawasan dengan Amaran Tahap 1 itu membabitkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang (Kedah), Raub (Pahang), Mukah (Sarawak) dan Nabawan (Sabah).
Dr Muhammad Radzi berkata, pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
“Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual.
“Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma,” katanya.
Justeru, katanya, KKM ingin mengingatkan orang ramai terutamanya bagimereka yang menyambut perayaan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas ini untuk mengambil langkah-langkah pencegahan.
“Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas dilaman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuacapanas/).
Sementara utu maklumat dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan)
INFO
Langkah pencegahan:
1. Rancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga jam 4 petang.
2. Orang ramai dinasihatkan banyak minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan.
3. Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.
4. Bagi golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
5. Ibu bapa dan penjaga perlu mengawasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari.
6. Dinasihatkan kerap mandi bagi menyejukkan badan dan mengelakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.
7. Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas;
8. Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas. Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas;
9. Gunakan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan.
Sponsored by Egroup88