KJ, Tengku Zafrul mampu berkhidmat dengan baik untuk rakyat – Hishammuddin
KUALA SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dan Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz masing-masing mampu menolong berkhidmat dengan baik kepada penduduk di situ.
Bendahari Agung BN yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta jentera kempen pilihan raya BN di dua kawasan Parlimen itu terus bergerak dan mengekalkan momentum masing-masing sehingga tempoh kempen tamat Jumaat ini.
“Sekiranya calon (Khairy dan Tengku Zafrul) diberi peluang, kedua-duanya mampu menolong rakyat di kawasan Parlimen masing-masing.
“Ini satu petanda baik tetapi saya nasihatkan jentera jangan toleh ke belakang kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi tarikh pembuangan undi.
“Jentera mesti teruskan momentum kerana saya percaya jika Khairy dan Tengku Zafrul diberikan tempat, mereka boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Karnival Sukan Bola Sepak bersama masyarakat India di Padang Awam Bestari Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Zafrul dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.
Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong juga berkata, rakyat negara ini sudah letih dengan politik yang dimainkan pihak lawan menjelang pilihan raya umum kali ini.
“Rakyat sebaliknya mahu melihat politik Malaysia secara matang dan positif pada masa depan. Rakyat perlu ingat semula bagaimana pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama tempoh 22 bulan menerajui negara. Kesalahan (kegagalan pentadbiran) itu seharusnya dipikul kerana mereka berpolitik sejak PRU-14.
“PRU-15 kali ini pun mereka politikkan seperti undi tentera, undi pos. Malah tiada persefahaman antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli,” katanya, hari ini.
Justeru, beliau berkata, rakyat harus bijak membuat pilihan dan tidak lagi terpedaya dengan fitnah serta tomahan parti pembangkang yang sekadar meraih sokongan pengundi.
“Rakyat sudah mula sedar parti lawan hanya menanam kebencian kepada BN untuk memenangi pilihan raya.
“Pengundi sudah memberikan mereka peluang pada PRU-14 lalu. Tetapi PRU-15 kali ini, pengundi sudah boleh buat perbandingan (parti) mana yang boleh diberikan peluang,” katanya.
Sponsored by Egroup88