Kes lemas Sungai Pegalan, mangsa kedua ditemui hari ini

KENINGAU: Seorang lagi kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pegalan berhampiran Kampung Lingkudau, di sini, ditemui lemas petang tadi.

Arlina Jabar yang berusia sembilan tahun, ditemui orang awam jam 6.15 petang kira-kira 13.55 kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai jatuh dalam kejadian Isnin lalu.

Sebelum ini, kakaknya, Azila, 12, yang turut hilang ketika cuba menyelamatkan Arlina dalam kejadian sama ditemui lemas Selasa lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata pihaknya segera ke lokasi penemuan mangsa itu untuk mengambil mayat terbabit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi memasuki hari keempat membabitkan radius pencarian tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam menggunakan dua bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Sabah.

“Pencarian juga dilaksanakan dengan teknik menyusur tebing sungai secara berjalan kaki oleh anggota penyelamat dan orang kampung.

“Bantuan pencarian di Jawa Sembiling turut dilakukan anggota BBP Tenom pada jarak tiga kilometer menyusuri tebing sungai, selain disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang Isnin lalu, Azila dan Arlina dipercayai bermain berhampiran tebing sungai sebelum Arlina terjatuh.

Azila terjun ke sungai untuk menyelamatkan Arlina, namun kedua-duanya dilaporkan tenggelam.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.