Kerajaan teruskan bangunkan francais mikro

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik tahun depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memastikan lebih ramai rakyat bakal menerima manfaat terutamanya Keluarga Malaysia dari kumpulan B40 dan M40.

Beliau berkata, program itu yang diperkenal tahun ini untuk membantu penggiat industri, terutama golongan B40 dan M40, mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Sehingga kini, sebanyak 144 permohonan daripada francaisor dan potensi francaisi bernilai lebih RM22 juta diterima untuk diproses.

“Sebanyak lapan francaisor dan 29 francaisi mendapat bantuan kerajaan menerusi program itu dengan peruntukan tahun semasa berjumlah RM4.5 juta.

“Kejayaan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik ini juga amat penting kerana ia sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari Jemaah Menteri yang dinilai bawah Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Malam Anugerah Francais 2002, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Presiden Persatuan Francais Malaysia, Datuk Dr Radzali Hassan.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini, perniagaan francais yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjumlah 1,093 syarikat, dengan 616 daripadanya jenama francais tempatan, manakala 409 jenama lagi jenama francais asing.

Beliau berkata, rakyat negara ini patut berbangga kerana jenama francais tempatan berjaya bertapak di lebih 70 negara di seluruh dunia, termasuk di Arab Saudi dengan 744 outlet, di Indonesia dengan 670 outlet, Amerika Syarikat sebanyak 424 outlet serta beberapa negara lain.

Ismail Sabri berkata, setakat ini, industri francais menyediakan lebih 80,000 pekerjaan dan menyumbang lebih RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun, melalui pembayaran gaji kepada pekerja di syarikat francais.

Selain itu, beliau berkata, setakat semalam, nilai jualan industri francais mencecah RM14.6 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan tahun ini, iaitu RM13 bilion dengan peningkatan hampir 10 peratus pada tahun sebelumnya, biarpun tahun kewangan semasa belum berakhir dan dunia masih berhadapan cabaran impak COVID-19.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, industri francais dijangka terus menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara mulai tahun ini hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya, kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri francais, demi memastikan lebih ramai pemain industri dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia.

“Di bawah Bajet 2022, pelbagai inisiatif turut dirangka untuk membantu usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat.

“Khusus untuk pembangunan francais dan jualan langsung, kerajaan memperuntuk sebanyak RM3 juta bagi mendorong industri francais berkembang dengan lebih pesat.

“Diharapkan KPDNHEP dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti dan program yang akan memanfaatkan penggiat industri francais selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.

Pada majlis sama, Ismail Sabri turut menyampaikan hadiah kepada pemenang 19 kategori anugerah termasuk francaisor terbaik, francaisi terbaik, francaisi induk, media serta organisasi dan individu yang memberi sumbangan dan berjasa kepada pertumbuhan industri francais negara.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.