Kerajaan akan tetapkan harga siling kenaikan tarif air negeri – Nik Nazmi
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menetapkan harga siling bagi kenaikan tarif air di negeri, walaupun syarikat pengendali air diberi kuasa untuk meningkatkan tarif itu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif air dilakukan sesuka hati, sebaliknya perlu melalui mekanisme penetapan tarif yang sistematik, telus dan adil untuk memberi manfaat kepada semua.
Beliau menjelaskan, penangguhan kenaikan tarif air boleh menyebabkan syarikat pengendali air mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM409 juta setahun.
“Purata tarif air dikenakan kepada pengguna di Semenanjung dan Labuan ialah RM1.43 bagi setiap meter padu. Mengambil kira pelarasan diluluskan tahun lalu oleh kerajaan sebelum ini untuk bukan domestik dan kategori khas, purata tarif dijangka meningkat kepada RM1.59 bagi setiap meter padu dan ia masih rendah.
“Ada negeri yang 40 tahun tidak naik tarif air, dan ada pula yang 60 peratus daripada air yang dirawat tidak sampai kepada pengguna. Oleh itu, kita berasakan ada negeri yang memerlukan peningkatan tarif lebih drastik, dan kita tetapkan siling.
“Saya cuma hendak jelaskan di sini, kita tidak membiarkan ‘free for all’ sebab kita ada mekanisme serta penetapan siling, selain melihat negeri mana yang perlu dinaikkan (tarif air),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau memaklumkan, persetujuan daripada menteri besar dan ketua menteri juga sudah diperoleh berhubung keperluan itu.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan akan meminda dua peraturan berkaitan alam sekitar dan air, iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, bagi menangani isu pencemaran.
Beliau berkata, pindaan fasa pertama terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air membabitkan peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda terhadap tindakan berisiko yang mencemarkan mana-mana alur air serta sistem bekalan air.
“Denda akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala tempoh penjara pula dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun, atau kedua-duanya.
“Penyenaraian kesalahan baharu akan turut dimasukkan ke dalam akta itu bagi membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos memulihkan sistem bekalan air yang dicemari pihak didapati bersalah,” katanya.
Berhubung pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling pula, beliau berkata, bacaan pertama akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan tidak pernah mengehadkan projek pemasangan panel solar di bangunan kerajaan, hanya diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sebaliknya, beliau berkata, bangunan kerajaan terbuka untuk menggunakan perkhidmatan pemasangan panel solar yang ditawarkan syarikat luar.
“Kerajaan tidak pernah mengehadkannya kepada syarikat GLC, namun ia disebabkan kesanggupan dan komitmen syarikat GLC yang mahu memasang panel solar pada bangunan kerajaan.
“Melalui kuota sebanyak 70 megawatt yang diagihkan kepada bangunan kerajaan, mereka boleh mengambil mana-mana syarikat untuk memasang panel solar terbabit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kerajaan memutuskan tiada peruntukan akan diberi kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mulai tahun depan berikutan kemampuan syarikat itu mengoptimumkan kos pengurusan dan pengoperasian.
“Pada 2023, peruntukan diberikan kepada IWK ialah RM90 juta. Namun, syarikat itu mampu beroperasi dengan baik melalui RM60 juta daripada RM90 juta diberikan itu,” katanya.
Sponsored by Egroup88