‘Keputusan mahkamah dapat kembalikan maruah negara’
Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Hukuman dijatuhkan terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) bukti badan kehakiman berjaya menegakkan keadilan, sekali gus mengembalikan maruah negara yang tercalar.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kebebasan sistem kehakiman sebegitu yang beliau pertahankan ketika menerajui pentadbiran Putrajaya sebelum ini.

Meskipun wujud desakan politik supaya campur tangan dalam kes tertentu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dengan tegas menolaknya walaupun pada akhirnya, beliau terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip dipegangnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengungkit kembali detik beliau dengan lantang menyuarakan kebimbangan mengenai salah guna kuasa dan rasuah skala besar menerusi penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International membabitkan Najib sejak 2015.

Katanya, kesan tindakannya itu, beliau dihukum dengan dipecat daripada kerajaan dan parti ketika itu, namun tetap kuat beristiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

“Alhamdulillah, perjuangan saya dan rakyat Malaysia menentang rasuah akhirnya terjawab di Mahkamah Persekutuan hari ini.

“Hari ini, saya bersama-sama rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib.

“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walaupun akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) percaya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bukan pengakhiran sebuah perjuangan, malah pendakwaan berkaitan kes 1MDB membabitkan dana RM2.6 bilion masih belum selesai.

Katanya, kes rasuah membabitkan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) seperti pengerusi BN yang masih dalam perbicaraan di mahkamah juga termasuk kes berprofil tinggi lain.

Justeru, beliau berharap kebebasan badan kehakiman negara terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik daripada mana-mana pihak supaya keadilan dapat ditegakkan dengan sewajarnya.

“Kebebasan dan integriti badan kehakiman seperti terbukti hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi.

“Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral.

“Atas segalanya, saya mendoakan Malaysia bebas sepenuhnya daripada amalan kleptokrasi, dijauhi bala bencana dan rakyat hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.