Keputusan Ali Biju kukuhkan hubungan Persekutuan, negeri
SARATOK: Pengunduran Datuk Ali Biju sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, dianggap langkah tepat untuk mengukuhkan hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mencapai banyak persefahaman dalam pelbagai perkara.
Justeru katanya, langkah Ali yang sanggup berkorban bagi memberi laluan kepada GPS itu amat penting dalam memastikan hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak terus berjalan lancar.
“Seperti yang kita maklum, ketika berlaku perubahan Kerajaan Persekutuan tahun lalu, GPS memainkan peranan yang besar untuk bersama membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.
“Banyak langkah dan inisiatif yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU) ketika beliau menjadi Perdana Menteri terutamanya dalam memastikan Perjanjian Malaysia 1963 bukan saja diiktiraf tetapi dihormati dan dilaksanakan untuk menjamin Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan penyokong Ali Biju di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Saratok, malam ini.
Justeru katanya, beliau bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon turun ke Krian hari ini bagi menyampaikan penghargaan Muhyiddin terhadap pengorbanan besar Ali menarik diri sebagai calon Bebas.
Menurut Azmin lagi, kehadirannya di Krian hari ini juga memberi peluang kepadanya untuk bertemu dan berbincang dengan penyokong setia Ali berhubung isu pengunduran sebagai calon Bebas.
“Ali mempunyai ramai penyokong yang setia sejak 2011 dan ini buktikan beliau mempunyai rekod prestasi cemerlang di DUN Krian dan Parlimen Saratok hingga disenangi penduduk.
“Keputuaan beliau melepaskan kerusi DUN Krian adalah pengorbanan yang cukup besar,” katanya.