Kelantan optimis dapat lesen beraksi musim depan

KUALA LUMPUR: Kelantan FC akan berusaha memenuhi tuntutan daripada First Instance Body (FIB) untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Semalam, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan keputusan untuk pemberian lesen kebangsaan kepada skuad The Red Warriors (TRW) ditangguhkan sehingga bulan depan sekali gus memberi peluang mereka menyelesaikan langkah sepatutnya.

Bagi langkah pertama, pengurusan Kelantan FC diberikan tempoh sehingga 30 November ini bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji seandainya gagal, skuad itu secara automatik tidak akan mendapat lesen kebangsaan musim 2024/25.

Bagaimanapun, sekiranya langkah pertama isu berjaya diselesaikan, TRW juga perlu menyelesaikan isu kedua membabitkan kes di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan tempoh diberikan sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid berkata pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan permintaan daripada FIB bagi memastikan juara trebel 2012 itu dapat kekal beraksi di Liga Super.

“Sebelum ini kita sudah minta untuk pelan pembayaran (tunggakan gaji) kepada mana-mana pemain yang terbabit tetapi ada yang tidak bersetuju dan kita pun kena hukuman daripada FIB.

“Kita akur FIB sudah menjalankan satu bentuk hukuman untuk kita memenuhi syarat bagi mendapatkan lesen. Jadi, segala kriteria yang diminta FIB itu kita akan ikut sepenuhnya.

“Memang kita 100 peratus memberi komitmen dan berusaha menyelesaikan perkara itu yang mana sasaran kita musim depan pun mahu bersaing dalam Liga Super,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Sheikh Mohd Nasir menjelaskan FIB Kelantan FC dikenakan hukuman denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

Untuk rekod, 10 pasukan diberikan lesen kebangsaan musim hadapan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC (TFC), Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan PDRM FC.

Tiga lagi pasukan diberikan lesen kebangsaan namun dikenakan denda RM20,000 atas kesalahan dalam menyediakan notis deklarasi kepada FIB iaitu KL City FC, Sabah FC dan Kelantan United.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.