KDN teliti 8 syor pinda perlembagaan berkaitan kewarganegaraan

SINTOK – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan memberi kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa khas kementerian yang ditubuhkan bagi meneliti perkara itu bersetuju untuk menerima lapan perkara itu, namun tiada ketetapan dibuat setakat ini kerana perlu melalui proses lain di pelbagai peringkat.

Menurutnya, antara perkara itu termasuk menurunkan had umur daripada 21 tahun kepada 18 tahun untuk seseorang melucutkan kewarganegaraannya dan kaedah pelaksanaan pindaan itu sama ada secara retrospektif atau prospektif apabila ia dikuatkuasakan.

“Maksudnya bila pindaan Perlembagaan itu dibuat nanti dan wujud keadaan seorang anak itu dengan kuat kuasa undang-undang menjadikan dia warganegara, pada masa yang sama dia juga warganegara sesebuah negara lain mengikut bapanya, jadi dia akan ada dua kewarganegaraan.

“Tapi Perlembagaan Persekutuan negara kita tidak membenarkan dua kewarganegaraan, jadi waktu bila dia kena renounce (melucutkan kewarganegaraan)? Jadi sekarang ini umurnya adalah 21 tahun dan kita cadang turun 18 tahun sebab kita nak selaraskan dengan umur mengundi.

“Jadi akan membabitkan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan dan akta yang berkaitan, itu satu contoh supaya ada keselarasan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program Townhall Ikon MADANI bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Utara Malaysia di sini pada Sabtu.

Saifuddin Nasution berkata, dalam meneliti perkara-perkara berkaitan pindaan Perlembagaan itu, dua jawatankuasa khas diwujudkan iaitu di peringkat KDN yang dipengerusikan ketua setiausaha dan di peringkat Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Katanya, kedua-dua jawatankuasa itu menjalankan kajian terperinci dan melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan selain melihat tindakan negara lain, bagi memastikan cadangan komprehensif dapat dihasilkan untuk pindaan Perlembagaan itu.

Beliau berkata, selepas semua cadangan tersebut dipersetujui di peringkat kementerian dan Kabinet, ia akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja dan sekiranya diperkenankan, barulah dibentangkan di Parlimen yang diharap dapat dilakukan pada persidangan hujung tahun ini.

Februari lepas, Kabinet dilaporkan bersetuju meminda Perlembagaan untuk memberi kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.