Kapasiti penumpang MAG disasar hampiri paras pra-pandemik
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd menjangkakan dapat mencapai 70 peratus kapasiti penumpang daripada paras sebelum COVID-19 menjelang akhir tahun ini.
Sasaran itu ditetapkan selepas kerajaan mengumumkan peralihan ke fasa endemik serta membuka kembali sempadan antarabangsa bermula 1 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail, berkata kumpulan akan menjalin kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pengangkutan bagi memastikan pembukaan semula sempadan dapat dilaksanakan dengan selamat.
Beliau berkata, langkah pembukaan sempadan juga dapat memulihkan semula industri penerbangan serta meningkatkan kekerapan ke pasaran utama untuk memudahkan ketersambungan.
“Kami jangkakan, permintaan terpendam daripada pengembara masuk dan keluar adalah tinggi.
“MAG akan berpandukan arahan kerajaan dan menghargai campur tangan kerajaan untuk memudahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya urusan kemasukan pengembara ke Malaysia berjalan lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan.
MAG adalah antara syarikat penerbangan yang menerima impak disebabkan pandemik COVID-19 serta sekatan penerbangan yang dilaksanakan bukan hanya di Malaysia tetapi kebanyakan negara lain.
Ia turut melaksanakan penstrukturan semula Malaysia Airlines bagi menampung ketirisan kewangan disebabkan pandemik.
Penstrukturan semula itu dilaporkan memberi kejayaan apabila kewangan Malaysia Airlines kini dalam kedudukan yang baik, dengan aliran tunainya berada positif.
MAG juga terus mengekalkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan premium bertumpu di Asia Pasifik serta mengukuhkan kedudukan dalam pasaran domestik dan ASEAN.
Izham berkata, MAG akan terus memainkan peranan uniknya menyokong strategi #ReopeningSafely Malaysia supaya penumpang boleh terbang dengan yakin bersama Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL.
Pada masa sama, katanya, masyarakat digesa untuk terus berwaspada bagi memastikan keselamatan diri dan orang sekeliling.
“MAG tidak sabar untuk mengalu-alukan pelancong menikmati ‘Hospitaliti Malaysia’ yang tiada tandingan,” katanya.
Sponsored by Egroup88