Kapal tangki minyak terbakar di Laut Merah diserang puak Houthi
LONDON – Sebuah kapal tangki minyak terbakar di luar pantai Yemen selepas terkena serangan peluru berpandu yang diperakui dilakukan oleh Houthi, lapor PA Media/dpa.
Firma multinasional Trafigura, yang mempunyai pejabat di London berkata, keselamatan anak kapal Marlin Luanda, sebuah kapal yang dikendalikan bagi pihaknya, merupakan ‘keutamaan utamanya’.
Kapal tentera di wilayah itu kini dalam perjalanan untuk memberi bantuan, katanya.
Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO) melaporkan kejadian itu berlaku 60 batu nautika di tenggara Aden pada Jumaat.
Ia berlaku selepas insiden dua peluru berpandu dilaporkan meletup di dalam air sebelum ini, dengan “kapal dan anak kapal selamat dan tiada kerosakan dilaporkan.”
Angkatan bersenjata Yemen mendakwa ia menyasarkan Marlin Luanda, yang didakwanya kapal tangki minyak British, di Teluk Aden.
Data perkapalan menunjukkan kapal itu berlayar dengan bendera Kepulauan Marshall.
UKMTO berkata pihak berkuasa telah dimaklumkan dan bertindak balas terhadap serangan terbaru, dengan memberi amaran kepada kapal lain untuk membuat transit secara berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Houthi telah berulang kali melancarkan serangan ke atas kapal-kapal di Laut Merah sejak November berhubung perang Israel terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.
Namun, mereka sering menyasarkan kapal yang tiada hubungan jelas dengan Israel, yang membahayakan penghantaran di laluan utama perdagangan global itu.
Selain serangan udara ke atas sasaran utama Houthi, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) juga mengenakan sekatan ke atas tokoh penting dalam kumpulan militan yang disokong Iran.
Siri kedua serangan udara UK dan AS, yang dilakukan pada awal minggu, nampaknya tidak banyak membantu untuk menghalang tindakan Houthi.
Jurucakap Trafigura dalam satu kenyataan berkata Marlin Luanda, sebuah kapal tangki produk petroleum yang dikendalikan bagi pihak Trafigura, terkena peluru berpandu ketika ia melintasi Laut Merah pada Jumaat (26 Januari).
“Kebakaran dikawal menggunakan peralatan memadam kebakaran di sebuah tangki kargo atas kapal itu. Keselamatan anak kapal menjadi keutamaan kami.
“Kami kekal berhubung dengan kapal itu dan memantau keadaan dengan teliti. Kapal tentera di rantau ini sedang dalam pelayaran untuk memberi bantuan.”
Terdahulu pada Jumaat, seorang jurucakap perdana menteri menggesa Houthi menghentikan tindakan haram dan tidak boleh diterima itu.
Setiausaha Luar Lord David Cameron kini memuktamadkan lawatan ke Asia Barat dalam usaha diplomatiknya untuk mengurangkan ketegangan berikutan pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza.
Sponsored by Egroup88