Kanak-kanak 5 tahun parah digigit kera
KUALA KRAI – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun cedera parah akibat digigit seekor kera di Kampung Melati, Jalan Jerat Cina di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Che Mohamad Harith Maliq Abdul Rahman mengalami luka teruk di bahagian kaki kanan, perut serta belakang badan akibat digigit haiwan liar terbabit.
Kesan gigitan itu menyebabkan mangsa dilaporkan menerima lebih 30 jahitan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.
Jiran, Che Hasmani Che Mat, 51, berkata, semasa kejadian dia sedang menyiapkan makan tengah hari sebelum mendengar jeritan kanak-kanak itu.
“Terkejut dengan bunyi tersebut saya keluar dari rumah dan melihat badan Che Mohamad Harith Maliq dipenuhi darah,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Ujarnya, ibu kanak-kanak terbabit, Norzila Mat Zin, 33, telah membalut anaknya dengan kain dan membawanya ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Che Hasmani, berdasarkan cerita Norzila, semasa kejadian anak bongsunya itu dikatakan sedang menikmati cekodok di kawasan halaman rumah.
Katanya, ibu tunggal kepada dua anak itu kemudian meninggalkan anaknya sekejap untuk ke bilik air sebelum mendengar tangisan yang kuat.
“Jarak rumah kami hanya 30 meter. Kawasan ini berhampiran bukit, jadi kemunculan kera bukanlah luar biasa.
“Di sini terdapat lebih 30 ekor kera yang berkeliaran. Biasanya rumah Norzila sering menjadi perhatian haiwan liar tersebut kerana rumahnya paling hampir dengan semak,” katanya.
Menurut Che Hasmani, anak bongsu Norzila kini ditahan di hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Cubaan Sinar Harian untuk mendapatkan ibu kepada kanak-kanak tersebut gagal kerana dia tidak mempunyai telefon serta berada di dalam wad.
Sponsored by Egroup88