‘Kalau tak menang, kita jadi pembangkang yang berkesan’
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (depan) menurunkan tandatangan sebagai merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Pantai Jerejak di Pulau Pinang.

GEORGETOWN: MCA sedia menjadi pembangkang berwibawa di Pulau Pinang dan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata parti itu realistik dalam melihat Pulau Pinang sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, namun bukan bermakna akan memberi kemenangan mudah.

“DAP pernah cakap jangan bagi Barisan Nasional (BN) menang besar, jadi saya gunakan teori mereka supaya dalam masyarakat yang mengamalkan prinsip demokratik, patut ada suara semak dan imbang.

“Saya gunakan teori yang mereka pernah guna itu untuk tidak memberi kemenangan mutlak habis-habisan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, mana-mana penyelaras Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik bukan sahaja dilatih menjadi sebahagian anggota kerajaan, malah mampu memberi tekanan untuk mendedahkan apa yang perlu diketahui rakyat.

“Kalau kita menang di satu-satu kawasan tapi belum cukup membentuk kerajaan, kita jadi pembangkang pun tidak apa. Sememangnya kalau diikutkan lebih ideal ialah kita menang besar.

“Kita buat langkah demi langkah dan jika kita rasa kalau tidak boleh dalam satu langkah kita mencapai matlamat, tidak mengapa kerana sebagai pembangkang pun kita mampu melakukan sesuatu,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan Saw Yee Fung sebagai Penyelaras MCA Parlimen Bayan Baru manakala Setiausaha MCA negeri, Yeoh Chin Kah, sebagai Penyelaras DUN Pantai Jerejak.

Ka Siong menegaskan, penyelaras dilantik belum tentu menjadi calon, namun ia adalah peluang mereka membuktikan kebolehan dan belajar mendampingi serta berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, Parlimen Bayan Baru adalah satu-satunya kerusi tradisi MCA namun pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di Pulau Pinang masih dalam proses perbincangan bersama parti komponen BN.

“Oleh kerana GERAKAN tidak lagi berada dalam BN, sudah tentu kita akan berbincang dan soal siapa (akan bertanding) kita akan buat keputusan bersama, tidak ada isu dan kita mohon doa restu semua parti komponen supaya kita boleh menang.

“Kerusi GERAKAN secara logiknya kita akan ambil alih, kalau tidak keseluruhan mungkin sebahagian besar membabitkan kawasan lebih tertumpu kepada kepadatan penduduk Cina namun perkara itu akan dimuktamadkan BN secara rundingan bersama,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.