KADA sedia peruntukan RM6 juta hadapi kemarau
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi berdepan musim kemarau tahun ini.
Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa, berkata peruntukan itu membabitkan pembelian pam backward, pembinaan telaga tiub bersama diesel atau petrol, pam kitar semula, pam mudah alih serta penggunaan jentera.
Beliau berkata, perbelanjaan besar diperlukan bagi memastikan hasil yang diperoleh sepanjang musim ini mencapai sasaran iaitu antara 4.3 tan sehingga 4.5 tan per hektar.
“Untuk telaga tiub kita dapat peruntukan sebanyak RM500,000 untuk pembinaan 100 unit dan setakat ini sudah 26 unit dibina malah kita beri bersama enjin serta diesel atau petrol.
“Pam backward pula, peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan dan setakat ini kita sudah menyediakan 150 unit dengan 40 unit sudah diagihkan kepada pesawah di jajahan Kota Bharu Utara serta Kota Bharu Selatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain itu, KADA juga menyediakan pam kitar semula di empat tempat dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini manakala peruntukan RM800,000 pula diberikan bagi penyediaan pam mudah alih.
Menurutnya, peruntukan RM6 juta itu juga termasuk kos membaiki mana-mana pam sedia ada.
Terdahulu Mohd Faizul hadir di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Selatan, di sini mengagihkan 25 pam backward kepada 24 pesawah kawasan itu.
Beliau berkata, tinjauan sudah dibuat di Rumah Pam Kemubu, di sini dan mendapati paras air sungai menurun berikutan musim kemarau.
Serentak itu, pihaknya sedang menjalankan kerja membersihkan mendapan serta lumpur untuk memudahkan pengaliran air ke 16,000 hektar sawah di bawah seliaan KADA.
“Kita juga harapkan pesawah dapat mengikut arahan dan jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh KADA bagi mengelakkan kerugian dalam musim kemarau ini,” katanya.
Sponsored by Egroup88