Jinq En fokus kelayakan Olimpik Paris

HANGZHOU: Perenang wanita negara, Phee Jinq En optimis mampu lebih menyerlah pada masa akan datang biarpun pulang dengan tangan kosong di temasya Sukan Asia Hangzhou.

Atlet berusia 25 tahun itu mengakhiri kempen di Hangzhou dengan menamatkan aksi final 100 meter (m) kuak dada di tempat terakhir, hari ini.

Selepas mencatatkan masa yang lebih pantas dalam saingan saringan, Jinq En yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 1 minit 8.40 saat (s) hanya mampu mencatat 1:10.40s pada aksi yang berlangsung di Arena Sukan Akuatik Hangzhou.

Perenang Jepun, Reona Aoki merangkul pingat emas dengan masa 1:06.81s, diikuti rakan senegaranya Satomi Suzuki (1:06.95s) perak manakala gangsa milik Yang Chang dari China (1:07.01s).

“Saya cukup berpuas hati dengan kempen saya (Sukan Asia). Dalam acara 50m, saya melakukan kerja yang hebat. Saya tidak cukup pantas di peringkat akhir.

“Ini adalah yang terpantas saya berenang di pusingan awal. Kali terakhir saya berenang sepantas ini pada waktu pagi, ketika saya kembali ke AS (Amerika Syarikat).

“Apapun, saya tahu apa yang perlu diusahakan dan gembira untuk mara ke peringkat akhir. Ia sukar,” kata Jinq En, yang mara ke pentas final dalam acara 50m dan 100m pada temasya di Jakarta-Palembang, lima tahun lalu.

Sementara itu, Jinq En berkata, dia mahu berehat sebelum mengharungi kejohanan lain dalam usaha untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, tiga wakil Malaysia iaitu Bryan Leong (100m kupu-kupu lelaki), Khiew Hoe Yean (200m gaya bebas lelaki) dan Lim Yin Chuen (200m gaya bebas lelaki) terkandas di pusingan awal selepas masing-masing gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk mara ke final.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.