Jangan tular video banjir lama – Polis

SHAH ALAM: Orang ramai diingatkan tidak menyebarkan video banjir lama tanpa sebarang kesahihan sehingga mengganggu ketenteraman awam, terutama penduduk sekitar di Taman Sri Muda, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ini berikutan tular video di laman sosial Twitter dan Facebook mengenai kejadian banjir yang didakwa berlaku di Taman Sri Muda, hari ini.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat apa-apa spekulasi dengan menyebarkan video kejadian banjir yang lama, tanpa apa-apa kesahihan.

“Perbuatan sebegini boleh mengganggu ketenteraman penduduk sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, hasil pemantauan awal mendapati lokasi di sekitar Taman Sri Muda dalam keadaan baik dan terkawal walaupun berlaku banjir kilat menyebabkan ada jalan dinaiki air separas buku lali, petang tadi.

“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh petugas di lapangan. Sehingga kini, semua lokasi jalan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Keadaan di lokasi (sekitar Taman Sri Muda) masih hujan renyai-renyai. Pemantauan masih diteruskan oleh anggota Balai Polis Sri Muda,” katanya.

Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh anggota polis di kawasan Taman Sri Muda. 

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.