‘Jangan tuduh MB Perak ‘gila’ nak jadi kaya gali lantanid’ – Saarani
Saarani (duduk dua dari kanan) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala YAB Menteri Besar Perak di Ipoh, hari ini.

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta wakil rakyat pembangkang tidak cuba menghasut dan mengelirukan rakyat dengan memanipulasikan maklumat berhubung projek perlombongan nadir bumi ‘lantanid’ di Gerik.

Merujuk dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How yang mendakwa tiada sesi libat urus dibuat berkaitan projek rintis nadir bumi itu, Saarani menafikan tiada sesi demikian diadakan dengan wakil rakyat pembangkang.

“Kita kena ada kejujuran pada diri kita sendiri dan masyarakat yang kita pimpin, benar mungkin kita berbeza ideologi politik dan pandangan, tetapi jangan sampai kita menghasut rakyat untuk saling membenci antara satu sama lain.

“Semasa KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) buat sesi libat urus secara maya hujung 2021, semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dijemput menyertaisesi berkaitan prosedur operasi standard (SOP) projek itu.

“Saya nak ingatkan kepada YB Howard Lee, kalau dia kata tiada sesi libat urus, dia pembohong besarlah. Jangan hasut rakyat kata kerajaan tidak pernah adakan sesi libat urus,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala YAB Menteri Besar Perak di sini, hari ini, Saarani meminta semua pihak tidak membandingkan unsur lantanid dengan unsur ditemui di Menglembu di sini dulu.

“Kerajaan negeri sudah buat ketetapan untuk tidak sama sekali membenarkan cari gali sekiranya unsur lantanid berkenaan adalah radioaktif. Dia (Howard) cuba nak hasut rakyat, nak banding lantanid dengan unsur radioaktif yang berlaku di Papan (Menglembu).

“Ia tidak benar sama sekali dan memang satu benda yang jauh berbeza. Janganlah Howard Lee masuk dan keluar kampung menghasut supaya membenci kerajaan, mengatakan kerja mengorek dan mencari mendedahkan rakyat kepada bahaya.

“Jangan ada sebarang pertuduhan yang mengatakan MB Perak ‘gila’ nak jadi kaya dengan mencari gali lantanid, tidak benar. Saya akan kekal dengan cara saya, tidak akan berniaga dan tidak berlumba dengan rakyat Perak mencari sumber kekayaan berdasarkan lantanid,” katanya.

Menegaskan hasil itu dikeluarkan untuk menjadi sumber kewangan baharu negeri untuk rakyat, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang akan membangkitkan isu lantanid sebagai ‘bahan’ kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.