Jangan pandang remeh ‘tsunami hijau’ – Kon Yeow
Chow Kon Yeow (tiga kanan) ketika menghadiri Majlis Jamuan Teh bersama Jentera PRU15 Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung di Sungai Ara di sini, hari ini. 

BAYAN LEPAS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengingatkan pimpinan PH negeri di negeri itu, agar tidak memandang remeh kepada ‘Tsunami Hijau’ iaitu lencongan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu.

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang, berkata gabungan parti itu perlu mempertahan dan mengekalkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Sasaran kita (PH) sekurang-kurangnya 37 kerusi, kalau kita letak sasaran yang lebih rendah, (maka) lebih rendahlah pencapaian kita.

“Adalah penting untuk meletakkan objektif tinggi dalam PRN…kita perlu atur strategi, kerja keras pada setiap peringkat Parlimen dan DUN serta mula bekerja dengan serius,” katanya di sini hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh bersama Jentera PRU15 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung di Sungai Ara di sini yang turut dikongsi menerusi laman Facebook beliau.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain

Dalam pada itu, Kon Yeow turut meminta rakyat Pulau Pinang membantu kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam membina semula negara.

“Kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan ini boleh kekal, jangan ulangi ‘kerajaan 22 bulan’ sekurang-kurangnya habis satu penggal (PRU15),”katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.