‘Jangan gadai masa depan’
KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan jangan menggadai masa depan dengan memilih parti yang gagal memenuhi kehendak rakyat dan tidak mampu menunaikan janji.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Openg, berkata mereka juga perlu menolak parti yang membohongi rakyat dan bersekongkol dengan mereka yang pernah gagal memimpin negara.
Sebagai rakyat Sarawak, katanya, mereka mempunyai kewajipan memilih kerajaan prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran masa kini dan akan datang.
“Ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan Sarawak yang kita sayangi.
“Kepemimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
“GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang stabil, makmur dan gemilang, demi menjadikan Sarawak maju nenjelang 2030,” katanya.
Beliau berucap pada majis ucapan pelancaran Manifesto GPS bertemakan ‘Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di sini, malam ini.
Majlis berlangsung secara hibrid dengan kehadiran fizikal membabitkan kepemimpinan tertinggi komponen GPS yang merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Manifesto itu mengandungi 34 tawaran komprehensif untuk memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.
Abang Johari, berkata sebagai Pengerusi GPS, beliau dan pasukan pimpinan pelbagai kaum akan terus komited untuk memastikan dasar dilaksanakan memanfaatkan rakyat.
Tegasnya, GPS akan memastikan tiada rakyat Sarawak tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan.
“GPS meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan Sarawak.
“Usaha membangunkan Sarawak hanya dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepemimpinan Sarawak melalui PRN-12 ini.
“Masa hadapan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak. Kita membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari, berkata PRN kali ini akan mencatat sejarah tersendiri kerana buat pertama kali GPS bertanding atas tiket sendiri dengan gabungan parti-parti anak Sarawak tanpa campur tangan dan pengaruh parti dari Semenanjung.
Susulan krisis kepemimpinan di peringkat Persekutuan pada 2018, pihaknya mengambil langkah drastik dan berani dengan menubuhkan GPS pada 12 Jun 2018.
“Sarawak memerlukan satu gabungan parti politik anak Sarawak yang kuat dan bersatu bagi berjuang membela nasib rakyat Sarawak tanpa dikawal dan dipengaruhi parti politik luar,” katanya.