Isu kerjasama BN-PH hantui pemikiran pengundi
JOHOR BAHRU: Isu Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PN) masih menghantui pemikiran pengundi, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata walaupun kerjasama terbabit sudah berlangsung sembilan bulan tetapi pengundi masih khuatir terhadap kerjasama kedua-dua parti gabungan berkenaan.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Belia Desa Madani @KKDW di B5 Street Market, Tampoi, di sini hari ini, katanya, BN perlu bekerja keras meyakinkan pengundi dan akar umbi bahawa kerjasama antara parti itu dengan PH adalah demi kebaikan pelbagai kaum.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata perkara itu adalah antara intipati yang perlu diberikan tumpuan apabila turun ke 191 bahagian UMNO di seluruh negara bagi menemui semua kepimpinan di peringkat akar umbi.
Ahmad Zahid berkata BN pernah bekerjasama dengan GERAKAN yang suatu ketika dahulu adalah pembangkang dan menguasai kerajaan Pulau Pinang tatkala penolakan ahli UMNO serta orang Melayu pada keseluruhannya ketika itu amat terkesan.
Bagaimanapun katanya, proses pencerahan dilakukan apabila kerajaan BN memulakan tugasnya pada 1974 dan didapati pada pilihan raya berikutnya ia diterima dengan baik.
“Ia tidak mustahil untuk dilakukan oleh kami, biarpun serangannya amat luar biasa dengan pelbagai fitnah dan juga isu yang dibangkitkan.
“Yang penting di negara kita ini kebersamaan dan kesefahaman antara pelbagai kaum budaya dan agama mesti ditonjolkan supaya tidak timbul prejudis dan prasangka.
“Kita ingin membentuk sebuah negara Malaysia MADANI dengan kepelbagaian kaum,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lanskap politik di Johor amat berbeza di mana tahap kebersamaan itu lebih kukuh dan lebih kuat.
Beliau yakin dalam menghadapi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) sama ada di Parlimen Pulai atau Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, walaupun pertunjukan politiknya sangat licin tetapi tidak mustahil untuk pihaknya mencapai kemuncak.
“Ia berikutan kawasan berkenaan kita sandang. Saya memberikan komitmen untuk jentera BN terus bekerjasama dengan jentera PH bagi menyokong calon kerajaan perpaduan negeri Johor,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya di majlis berkenaan, Ahmad Zahid berkata tiada lagi alergik antara BN dan PH selepas kedua-dua gabungan politik itu bersama.
Katanya, dua gabungan politik berkenaan kini tiada masalah dan boleh terus bekerjasama atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Ketepikan prasangka antara kita. Dulu kita alergik dengan baju warna merah (warna rasmi PH), mereka (orang PH) lebih lagi (alergik dengan BN). Sekarang tidak ada biru atau merah. Sekarang kita dalam kebersamaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata institusi kepresidenan UMNO harus dikekalkan.
Katanya, sekiranya ada hajat sama ada orang dalam dipengaruhi oleh orang luar untuk menukar kepimpinan, maka mereka perlu menunggu UMNO melakukan pemilihan semula tiga tahun akan datang.
“Sekiranya kumpulan itu percaya dengan sistem demokrasi di dalam berorganisasi politik, itu adalah kaedah yang lebih baik.
“Apa yang penting kita mara ke hadapan untuk membina dengan penuh kekuatan dari semua pihak dan jangan melakukan permainan tuduh-menuduh.
“Kita harus tukar minda supaya kita sama-sama memperkukuhkan kesatuan dan solidariti dalam parti kita sendiri, supaya gabungan kita dihormati oleh gabungan parti lain,” katanya.
Sponsored by Egroup88