Iran tembak peluru berpandu dalam latihan
TEHRAN: Iran melepaskan beberapa tembakan peluru berpandu balistik sepanjang lima hari latihan ketenteraannya yang disifatkan sebagai amaran terhadap Israel.
Panglima Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri, berkata latihan terbabit direka khas sebagai tindak balas terhadap ancaman yang dibuat rejim Zionis beberapa hari lalu.
“Sebanyak 16 peluru berpandu dilepaskan untuk memusnahkan sasaran. Dalam latihan ini, sebahagian daripada ratusan peluru berpandu Iran yang mampu memusnahkan sebuah negara dilepaskan,” katanya.
Ketua Pengawal Revolusi Islam (IRGC) , Mejar Jeneral Hossein Salami, berkata latihan yang dinamakan Payambar-e-Azadm atau Nabi yang Agung bermula sejak Isnin lalu di wilayah Bushehr, Hormozgan dan Khuzestan.
“Latihan ini adalah amaran serius kami kepada pegawai rejim Zionis, jika ada ancaman kecil sekali pun, kami sedia bertindak,” katanya.
Latihan itu diadakan selepas Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, ketika negara Yahudi itu menentang usaha memulihkan perjanjian nuklear Iran.
Bennett menuduh Iran melakukan ugutan nuklear dan mendakwa usaha memulihkan perjanjian terbabit mungkin digunakan untuk membeli senjata bagi mengancam Israel.
Malah, kebanyakan pemimpin Israel memberi bayangan akan menyerang Iran.
Iran pula menegaskan bahawa negara itu hanya mahu membangunkan program nuklear awam, namun kuasa Barat menyatakan usaha pengayaan uranium Iran berupaya digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.