Inspektor polis antara tujuh ditahan disyaki larikan lelaki Bangladesh

SEREMBAN: Seorang inspektor polis antara tujuh individu ditahan selepas disyaki terbabit melarikan seorang lelaki warga Bangladesh dari sebuah rumah di sini, pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata penahanan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada abang mangsa berusia 32 tahun, kira-kira jam 1 pagi pada hari sama dengan menyatakan adiknya yang berusia 27 tahun dikurung oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di daerah ini.

“Mangsa yang juga pekerja kontrak pendawaian elektrik dikatakan berhutang dengan seorang daripada lelaki berkenaan dan diarah supaya membayar hutang berjumlah RM25,000 atau akan dipukul.

“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Mambau dan berjaya menyelamatkan mangsa pada jam 10.30 malam, keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan tiga lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 57 tahun dan kemudiannya mendedahkan pembabitan seorang inspektor polis dalam kejadian itu.

Arifai berkata, pegawai polis berusia 57 tahun itu kemudian ditahan di Perak, kira-kira jam 11.15 pagi pada 12 Januari.

Semua lelaki terbabit, katanya, direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.