Indonesia rekod lebih 1,000 kes harian COVID-19

JAKARTA : Indonesia merekodkan 1,054 kes baharu COVID-19 hari ini, peningkatan harian tertinggi dalam tempoh tiga bulan, ketika kerajaan bersiap sedia menghadapi gelombang baharu jangkitan varian Omicron.

Negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu bergelut dengan gelombang kedua jangkitan pada Julai lalu, didorong oleh penyebaran varian Delta.

Bilangan kes harian menurun kepada sekitar 200 kes menjelang Disember, sebelum meningkat pada bulan ini, seiring dengan peningkatan penularan varian Omicron tempatan.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, dalam satu kenyataan hari ini, berkata penularan tempatan sudah dikesan dan Jakarta menjadi kluster jangkitan.

“Kita perlu ada koordinasi dengan wilayah untuk mengetatkan mobiliti dan mengukuhkan protokol dan kemudahan kesihatan serta memberi suntikan vaksin penggalak,” katanya.

Beliau tidak memperincikan sekatan yang mungkin dikenakan pihak berkuasa tempatan, dengan mereka pada kebiasaannya akan menyemak semula langkah berkaitan wabak setiap Isnin.

Indonesia mengesan kes pertama varian Omicron yang lebih cepat menular itu pada 16 Disember lalu.

Bilangan jangkitan yang disahkan sudah mencecah lebih 500 kes sejak itu dan pihak berkuasa menjangkakan kadar jangkitan mungkin memuncak pada Februari.

Negara Asia Tenggara itu memulakan program suntikan dos penggalak untuk orang awam minggu ini dan kekal sebagai negara paling terjejas di Asia Tenggara akibat COVID-19 dengan 4,270,794 kes jangkitan termasuk 144,167 kematian.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.