Indonesia mula vaksinasi COVID-19 kanak-kanak 6-11 tahun
BOYOLALI: Indonesia sudah bersedia untuk memulakan program inokulasi COVID-19 bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun mulai 24 Disember ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono, berkata mulai 24 Disember ini, pihaknya mengutamakan vaksin kepada kanak-kanak dengan memperuntukkan antara 58 hingga 60 juta dos vaksin kepada mereka.
“Panduan dasar vaksinasi terhadap kanak-kanak itu dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berhubung langkah pencegahan COVID-19 serta pengendalian wabak itu menjelang sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu.
“Kerajaan tempatan boleh mula menyuntik vaksin bagi kanak-kanak berkenaan jika sudah mencapai 70 peratus sasaran vaksinasi sekurang-kurangnya pemberian dos pertama dan 60 peratus vaksinasi dos pertama untuk warga emas.
“Arahan ini, yang dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Tito Karnavian pada Khamis lalu, sudah termaktub dalam peraturan sedia ada,” katanya kepada media Tempo semalam.
Agensi Kawalan Makanan dan Ubat-Ubatan kebangsaan Indonesia sebelum ini memberikan kelulusan penggunaan kecemasan bagi vaksin Sinovac buatan China ke atas kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas pada 2 November lalu.
Ia sebelum ini membenarkan penggunaan vaksin ke atas kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun, dengan objektif untuk membolehkan pengajaran secara bersemuka kembali diadakan di sekolah.
Agensi itu juga dilaporkan menjalankan ujian untuk menilai vaksin Sinopharm China untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
Ia juga akan mempertimbangkan kelulusan untuk vaksin Pfizer-BioTech sebaik saja didaftarkan dengan agensi terbabit, berikutan kelulusan penggunaan kecemasan pada 29 Oktober lalu oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk vaksin itu digunakan kepada kanak-kanak.