Impian terakhir Safiyya Aisyah
Noor Azmi (kiri) bermesra dengan Safiyya Aisyah, 6, pesakit akhir kanser otot yang dijangka hanya mampu hidup sehingga akhir tahun ini.

BAGAN SERAI: Biarpun nampak lincah dan ceria seperti kanak-kanak normal, siapa sangka hayatnya dijangka mampu bertahan sehingga enam bulan sahaja lagi.

Itulah hakikat yang dilalui Safiyya Aisyah Shahrul Asyraf, berusia enam tahun, pesakit kanser otot (Rhabdomyosarcoma).

Anak tunggal pasangan Shahrul Asyraf Shaharuddin, 31, dan Syamimi Athirah Sanusi, 30, disahkan menghidap kanser itu sejak 2019 dan sudah menjalani dua pembedahan di paha kanannya.

Shahrul Ashraf berkata, anaknya perlu menjalani rawatan ketiga dengan segera namun menurut doktor pakar, peluang bagi anaknya sembuh amat tipis iaitu hanya 20 peratus walaupun selepas rawatan memandangkan dos ubat yang akan diberikan agak tinggi.

Katanya, pada hari raya keempat Aidilfitri lalu, doktor pakar mengesahkan kanser yang dialaminya berada pada tahap terakhir dan peluangnya untuk hidup hanya bertahan enam bulan sahaja lagi.

“Berdasarkan maklumat doktor pakar, daripada 10 pesakit yang menjalani rawatan itu, hanya dua pesakit berjaya dengan peluang hidup tipis.

“Memikirkan impak dan kesakitan yang dialaminya, kami sepakat mengambil keputusan supaya tidak meneruskan rawatan dan biarlah kami menghabiskan masa dengan kenangan bersamanya dan kami reda andai ditakdirkan dia pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Safiyya Aisyah anjuran Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dengan kerjasama Parlimen Bagan Serai.

Dalam program itu, Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Presiden FOCCAN Maznah Tayib, turut menyampaikan bantuan kepada Safiyya Aisyah.

Sementara itu, Syamimi Athirah berkata, sementara hayat anak tunggal mereka masih ada, beliau dan suami akan memenuhi apa sahaja permintaannya termasuk mahu bermain salji.

“Dia selalu cakap teringin nak main salji dan insya-Allah kami akan pergi ke i-City Shah Alam, Selangor pada pertengahan Jun nanti untuk tunaikan hajatnya bermain salji.

“Hendak ke luar negara kami tak mampu, hanya itu yang kami boleh buat untuk memenuhi hasratnya,” katanya.

Beliau berkata, Safiyya Aisyah turut menanam hasrat yang tinggi untuk membelikan ayahnya motosikal selepas dia besar.

Bagaimanapun, bagi pasangan itu, mereka menyerahkan pada takdir Allah dan reda.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.