Hujan lebat, angin kencang diramal berterusan hingga Sabtu
KUALA LUMPUR: Sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan Pahang dan Terengganu petang esok, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Februari.
Bagaimanapun, ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem itu meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.
“Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk dan Waspada) untuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga 26 Februari ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 8.30 malam ini.
Beliau menasihatkan orang awam di kawasan terbabit untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobile myCuaca atau talian hotline MetMalaysia.
Sponsored by Egroup88