‘Hasni negarawan sejati’ – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyifatkan keterbukaan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, membuka jalan dan mencadangkan pemimpin muda menerajui kerajaan negeri sebagai sikap negarawan sejati.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sayap itu merakamkan penghargaan tertinggi kepada Hasni atas sumbangan menerajui kerajaan Johor selama dua tahun dan menjadi arkitek penting kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
“Jiwa besarnya yang membuka jalan dan mencadangkan pemimpin muda daripada kilang Pemuda UMNO memimpin kerajaan negeri adalah contoh sikap negarawan sejati.
“Saya minta semua perwakilan memberikan tepukan semangat kepada Menteri Besar muda kita, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga bekas pemimpin daripada kilang Pemuda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Onn Hafiz yang dilihat berdiri bersama hadirin, dilihat meletakkan tangan kanannya di dada sebagai tanda terima kasih kepada semua.
Cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, itu dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, penamaan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar yang dibuat pada saat akhir, mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi, terutama selepas Hasni dinobat sebagai ‘poster boy’ Menteri Besar sepanjang tempoh berkempen PRN berkenaan.
Asyraf Wajdi berkata, wajah Pemuda berintegriti perlu terus diterjemahkan melalui pelbagai pendekatan menyantuni kerencaman anak muda secara berterusan di peringkat akar umbi.
“Tidak semua anak muda ini satu aliran dan mempunyai orientasi pemikiran serta kecenderungan serupa. Tidak semua ala ‘Bangsar Bubbles’ yang hanya selesa menghisap ‘vape’ di ‘coffee house’ atau melepak di Starbucks semata-mata.
“Kepelbagaian anak-anak muda inilah yang harus terus kita raikan dan dampingi di peringkat cawangan seluruh negara sebagaimana yang diperlihatkan di Sabah, Melaka dan Johor.
“Ini kekuatan kita, inilah kelebihan kita,” katanya.
Sponsored by Egroup88