Harimau Malaya perlu berhati-hati berdepan Oman – Brendan

SKUAD Harimau Malaya perlu berhati-hati dengan taktikal baharu yang akan dimainkan pasukan Oman ketika berhadapan pasukan itu pada perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Sukan Asia 2027 pada 21 dan 26 Mac.

Pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan sedar bahawa pasukan ke-80 dunia itu, kini dilatih oleh bekas jurulatih pasukan kebangsaan Republik Czech Jaroslav Silhavy, yang menjadikan pasukan itu tentunya akan bermain dengan taktikal dan gaya permainan baharu.

Brendan berkata, Malaysia yang berkedudukan ke-132 dunia itu perlu berhati-hati dalam menghadapi taktikal baharu pasukan Oman, yang mungkin jauh berbeza berbanding sebelum ini, pada dua perlawanan penting yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac dan Stadium Nasional Bukit Jalil, lima hari kemudian.

“Beliau tentunya akan membawakan taktikal baharu dan mengubah apa juga sistem yang mereka ada sebelum ini, itu akan menjadi perkara paling sukar untuk kami mengetahui bagaimana cara mereka akan bermain. Bagaimanapun kita akan bertindak balas atas apa juga mereka akan lakukan dan tumpukan kepada apa yang kami boleh lakukan dan apa yang boleh diperbaiki.

“Kami juga perlu lihat semula dan kenal pasti apa kesilapan yang telah dilakukan di Piala Asia.

“Bagaimanapun, saya fikir rakan-rakan saya bersedia untuk tunjukkan apa yang boleh kami lakukan kerana kedudukan kami yang lebih baik dan kami tidak mahu mensia-siakan kedudukan kami sekarang,” katanya kepada media selepas sesi latihan di Wisma FAM di sini hari ini.

Silhavy, 62, yang melatih Republik Czech dari 2018-2023 dan membawa Slavia Prague memenangi gelaran musim 2016-2017, menggantikan jurulatih dari Crotia Branko Ivankovic yang dibuang Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) selepas prestasi buruk di Piala Asia 2023.

Sementara itu, Brendan yang meninggalkan Selangor FC bulan lepas berkata, beliau cuba untuk berada dalam keadaan terbaik dengan berlatih setiap hari, walaupun beliau kini tidak bersama mana-mana kelab.

“Untuk saya, di luar musim bukanlah untuk hanya duduk diam, tidak melakukan apa-apa dan menonton televisyen. Saya akan cuba untuk terus cergas, bersenam setiap hari, manakala sebahagian daripada rakan sepasukan juga telah pun memulakan latihan bersama pasukan mereka.

“Saya rasa ia cuma masa perlawanan, kami akan perlu perlawanan kecergasan dan berintensiti, kami akan sampai ke situ. Pasukan kejurulatihan tahu perkara itu dan telah lakukan yang terbaik sebelum ini dalam menjadikan pasukan kami bersedia untuk berhadapan pasukan berkualiti tinggi,” katanya.

Apabila ditanya mengenai pasukan baharu, beliau berkata dia belum membuat sebarang keputusan.

Malaysia kini berada dalam haluan yang betul untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia buat pertama kali, dengan mendahului Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata ke atas Oman selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 tahun lepas, diikuti Oman dan Kyrgyzstan (masing-masing 3 mata), manakala Taiwan tanpa sebarang mata.

Sebelum berhadapan Oman, Harimau Malaya akan bertemu Nepal yang berkedudukan ke-175 dunia pada 15 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 tertutup, di Wisma FAM sebagai aksi pemanas badan.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.