Harimau Malaya malukan Korea Selatan

DOHA: Harimau Malaya mengotakan janji untuk mencalar reputasi besar Korea Selatan apabila mengikat gergasi Asia itu 3-3 aksi ketiga Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, sebentar tadi.

Satu mata yang diraih itu menyaksikan Harimau Malaya memperbaiki pencapaian buruk pada edisi 2007 yang mana skuad negara yang beraksi atas tiket selaku tuan rumah gagal mengutip sebarang mata pada ketika itu.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang berada di ranking 130 dunia bermula positif dengan benteng pertahanan berjaya mengekang asakan pasukan di tangga ke-23 dunia itu selain jentera serangan skuad negara turut mencipta beberapa gerakan ke kubu lawan.

Kapten Korea Selatan yang juga bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min terlebih dahulu menguji Harimau Malaya menerusi percubaan pada minit ke-15, namun berjaya ditepis penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pintu gol Harimau Malaya bagaimanapun bolos pada minit ke-21 menerusi jaringan Jeong Woo Yeong yang menyudahkan umpanan Lee Kang In.

Enam minit selepas bersambung babak kedua, kejutan berlaku apabila Faisal Halim menyamakan kedudukan apabila dia berjaya memperdaya pemain pertahanan Korea Selatan sebelum melakukan sepakan untuk menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon Woo.

Ledakan itu sekali gus menyaksikan penyokong Harimau Malaya akhirnya dapat merasai atau merakam detik meraikan jaringan di pentas Piala Asia kali ini.

Malah, kegembiraan penyokong tidak terhenti setakat itu apabila Arif Aiman Hanapi kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas dia dikasari Seol Young Woo.

Jaringan itu jelas memberi makna besar buat seluruh rakyat Malaysia dan paling mencuri tumpuan pada paparan skrin siaran langsung, terdapat penyokong Harimau Malaya yang dilihat menangis kegembiraan.

Bagaimanapun, selepas itu benteng Harimau Malaya dipaksa bekerja keras apabila Korea Selatan melancarkan serangan bertali arus terutama menerusi gerakan Heung Min di bahagian kiri.

Usaha anak buah Jurgen Klinsmann akhirnya berhasil ketika perlawanan berbaki tujuh minit apabila sepakan percuma Kang In berjaya menewaskan Ahmad Syihan.

Malang buat Harimau Malaya apabila Korea Selatan diberikan sepakan penalti dan peluang itu digunakan Heung Min untuk meledak gol keduanya menerusi penalti di Piala Asia 2023.

Reputasi Korea besar Korea Selatan bagaimanapun tercalar ketika masa kecederaan hanya berbaki beberapa saat apabila pemain yang baru menyertai Harimau Malaya, Romel Morales meledak gol penyamaan.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.