Harimau Malaya kena tekan ‘gear 5’
DOHA: Pertembungan dengan Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Sabtu ini menjadi aksi hidup mati Harimau Malaya dalam Kumpulan E.
Seandainya tewas, skuad kendalian Kim Pan Gon mungkin boleh menutup buku di Piala Asia 2023 kerana lawan terakhir mereka dalam kumpulan itu adalah pasukan tangga ke-23 dunia, Korea Selatan.
Justeru, pengendali dari Korea Selatan itu harus memikirkan ‘muslihat’ terbaik untuk mengejutkan Bahrain termasuk jika perlu mengubah taktikal yang lebih berkesan berbanding ketika tewas 0-4 kepada Jordan, kelmarin.
Bagi semua pemain, mereka perlu membuang sepenuhnya perasaan gugup atau takut bagi mengelak persembahan longlai di Stadium Al Janoub sekali lagi membelenggu Harimau Malaya.
Barisan pemain negara tidak mempunyai banyak masa lagi dan mereka kena terus menekan ‘gear lima’ bagi menyaingi corak permainan pantas yang bakal disajikan Bahrain.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menjelaskan, setiap posisi pasukan negara harus berfungsi dengan baik dan tidak boleh memberi ruang kepada Bahrain melakukan gerakan untuk mendapatkan jaringan.
“Pertemuan dengan Bahrain kita tak boleh ambil ringan kerana kita berdepan pasukan ke-86 terbaik dunia. Apa yang diperlukan skuad negara adalah pemain harus lebih tangkas dan pantas sama ada ketika bertahan dan menyerang.
“Ia kerana pasukan Bahrain memiliki corak permainan pantas, mereka cepat naik dan turun. Jadi kita pun kena buat perkara yang sama supaya pasukan lawan tidak mempunyai ruang untuk mencipta sesuatu.
“Pemain Harimau Malaya juga harus pastikan mereka tidak lagi gugup kerana perkara itu yang menyebabkan kita tewas kepada Jordan, malah dengan jaringan yang besar.
“Kita boleh lihat yang mana ketika pemain kita diberi tekanan oleh pemain Jordan, mereka buat hantaran pun tak betul. Jadi kita sudah ada pengalaman dalam aksi pertama dan ia tidak boleh berulang lagi untuk menentang Bahrain,” katanya.
Sponsored by Egroup88